SHAH ALAM, 10 Ogos (Bernama) -- Selepas ‘bertahan’ dan ‘bertarung’ selama lima semester, Ahmad Tasnim Fathullah Ahmad Hafidz akhirnya menggenggam Sijil Tahfiz Al-Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Politeknik menerusi Program Techno-Huffaz di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini.
Dia menjadi satu-satunya graduan yang berjaya menamatkan pengajian daripada 11 pelajar yang mengambil program itu pada awal kemasukan.
Anak ketiga daripada empat beradik yang juga graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik Komunikasi, Jabatan Kejuruteraan Elektrik itu berkata dia agak terkilan apabila mengenang seorang demi seorang rakannya terpaksa berundur dan berputus asa hampir setiap semester atas pelbagai sebab.
“Pada awal kemasukan ke PSA dahulu, ada lebih kurang sebelas orang pelajar yang mengambil program ini. Namun pada semester keempat, sembilan daripadanya menggugurkan subjek itu manakala seorang lagi tidak lulus peperiksaan pada semester kelima.
“Saya akui memang mencabar untuk membahagikan masa antara Techno-Huffaz dengan subjek akademik lain tetapi ibu bapa menjadi tunjang kekuatan untuk teruskan perjuangan sehingga bergelar graduan meskipun perlu belajar seorang diri,” katanya selepas Majlis Konvokesyen PSA Ke-26 di Dewan Al-Jazari di sini hari ini.
Ahmad Tasnim berkata walaupun dia dan rakan-rakan lain mempunyai pengalaman dan latar belakang belajar serta menghafal al-Quran di kampung, tetapi suasana di PSA sebagai pelajar baharu tiga tahun lepas menjadi cabaran kepada mereka untuk menyesuaikan diri.
Menurut Ahmad Tasnim, Program Techno-Huffaz adalah subjek tambahan yang memerlukan pelajar membahagikan masa terhadap jurusan masing-masing seiring dengan ilmu al-Quran yang mempunyai pelbagai silibus termasuk hafazan dan tajwid.
Ahmad Tasnim berkata dia merancang untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Elektronik Perubatan di PSA dan terbuka untuk berkongsi ilmu kepada pelajar-pelajar baharu yang berminat dengan Program Techno-Huffaz pada masa akan datang.
Techno-Huffaz adalah program yang diperkenalkan sejak 2017 kepada para pelajar Pengajian Perniagaan, Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrik di PSA dengan menawarkan Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-Politeknik dengan kerjasama Politeknik Malaysia dengan Darul Quran JAKIM bagi melahirkan generasi huffaz teknokrat yang holistik dan global.
Sehingga kini, 16 graduan berjaya memperoleh pengiktirafan berkembar iaitu Diploma Politeknik dan Sijil Tahfiz Al-Quran JAKIM dan terkini 19 pelajar baharu mendaftar bagi sesi 2025/2026.
Terdahulu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan berusia 22 tahun itu antara 937 graduan yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen PSA Ke-26, sekali gus menjadikan 44,509 graduan berjaya dilahirkan di institut berkenaan sejak diperkenalkan pada 1997.
Turut hadir, Pengarah PSA Zainah Rujihan yang mengiringi Pengarah Korporat Sumber Manusia Panasonic Appliance Air-Conditioning (M) Sdn Bhd Datuk Moktar Mohd Salleh sebagai tetamu kehormat menyampaikan sijil kepada graduan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial