Ad Banner
 AM > BERITA

Pemuda Suku Temuan Buktikan Orang Asli Mampu Bergerak Seiring Kemajuan Negara

11/08/2025 04:14 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

REMBAU, 11 Ogos (Bernama) -- Usaha mempertahankan warisan budaya Orang Asli menerusi kreativiti menghasilkan produk kraf kayu ternyata membuahkan hasil buat pemuda berketurunan suku kaum Temuan, Helmi Naim Ahmad.

Usahawan berusia 30 tahun itu berjaya membuktikan bahawa bakat dan ketekunan mampu membawa kejayaan kepada seseorang dan memberi sumbangan bermakna kepada negara, tanpa mengira latar belakang kaum atau asal usul.

Segalanya bermula pada 2010 apabila Helmi Naim mula menjual barangan kraf berasaskan kayu seperti arca, air terjun mini, kapal hiasan, gasing, senduk, sumpit serta meja dan kerusi ukiran kayu secara kecil-kecilan, sebelum berjaya menubuhkan syarikat Abo Temuan Craft pada 2013.

"Pada mulanya saya buat semua ini sebagai hobi, menghasilkan ukiran dan kraf tangan guna kayu terbuang tetapi apabila mendapat sambutan mengalakkan, saya mula menghasilkan produk dalam berskala besar pula seperti kerusi dan meja kayu.

"Saya pernah mendapat keuntungan sebanyak RM500,000 apabila semua produk dihasilkan berjaya dijual masa itu saya rasa sangat gembira dan jadi lebih bersemangat untuk menghasilkan pelbagai ukiran baharu," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Berasal dari Kampung Asli Ulu Chembong, bapa kepada seorang cahaya mata itu menyifatkan kejayaan itu hasil daripada keberanian untuk mencuba dan membuang perasaan malu serta keluar daripada kelompok kebiasaan.

Helmi Naim turut membawa nama Malaysia di persada antarabangsa apabila produknya terpilih untuk dipamerkan di Itali dan Jerman, selain pernah menerima pelbagai anugerah termasuk Anugerah Ikon Usahawan Orang Asli pada 2016, 2017, 2023 dan 2024.

Beliau turut menerima Anugerah Ikon Orang Asli Islam anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2017, Anugerah Ikon Belia Orang Asli dan Ikon Remaja Perdana dari Kementerian Belia dan Sukan, serta Anugerah Usahawan Jaya Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 2016.

Helmi Naim berkata sebagai usahawan kraf, kepelbagaian dalam penghasilan produk adalah penting dan tidak seharusnya terhad kepada satu jenis sahaja, selain perlu peka terhadap permintaan pasaran yang lebih luas termasuk ukiran alatan permainan tradisional yang kekal mendapat sambutan, khususnya sebagai cenderahati atau hadiah

“Sebagai contoh, produk seperti kerusi dan meja kayu kurang mendapat sambutan, jadi kita bangkit semula dengan menghasilkan produk baharu seperti gasing kayu yang kini permintaanya sentiasa ada,” katanya yang mempunyai tiga pekerja terdiri belia Orang Asli kampungnya sendiri.

Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2025, Helmi Naim berkata komunitinya turut merasai kemajuan yang sama seperti masyarakat lain di negara ini, walaupun ada dalam kalangan mereka yang masih memilih tinggal di kawasan pedalaman.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan teknologi dan arus kemodenan, kebajikan Orang Asli di negeri ini tidak pernah diabaikan kerana kerajaan sentiasa peka dan memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan bagi memudahkan pergerakan urusan harian komuniti itu.

"Kampung kami sangat selesa dan lengkap dengan kemudahan asas seperti tadika, saluran paip air bersih, surau, kedai runcit dan jalan juga diturap kemas. Kemerdekaan negara sekarang ini membuatkan kami turut berkembang maju dalam pelbagai sektor dan lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata kemakmuran negara membawa kesejahteraan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan Orang Asli bukan sahaja dalam bidang pelajaran malah sektor keusahawanan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan