Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Cadang Bina Sekolah Menegak Di Residensi Aman MADANI

11/08/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan pembinaan sekolah menegak di kawasan Residensi Aman MADANI bagi menampung keperluan pendidikan penduduk setempat.

Beliau berkata cadangan itu susulan perbincangan bersama pemaju, kementerian dan agensi berkaitan selepas perasmian majlis pecah tanah residensi berkenaan di Bandar Sri Permaisuri di sini pada 6 Ogos lepas.

“Walaupun terdapat sekolah rendah berdekatan, kapasiti yang terhad menuntut pembangunan sekolah baharu selari dengan pertambahan penduduk.

“Justeru, saya mencadangkan supaya dibina sekolah menegak dalam kawasan pembangunan, atau sebuah sekolah berhadapan residensi yang dihubungkan melalui jejantas,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, sekolah berkenaan akan terbuka kepada semua penduduk setempat dan dilengkapi kemudahan selaras dengan kerangka MADANI, termasuk tadika, surau, klinik dan pusat keselamatan.

“Pastinya semua prasarana lengkap ini diwujudkan demi keselesaan rakyat,” katanya.

Pada 18 Feb lepas, media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep menegak yang menempatkan dua blok bangunan dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar, bagi memenuhi keperluan tanah yang terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.

Kementerian Pendidikan pada 30 Julai lepas dilaporkan telah memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak, dengan mengambil kira beberapa prinsip reka bentuk asas termasuk pengawasan dan keselamatan murid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan