Ad Banner
 AM > BERITA

Kedai Buku Lama Kembali "Bernyawa" Di Bulan Kebangsaan

11/08/2025 08:28 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, deretan bendera yang berkibar di hadapan Guang Ming Bookstore di Kenyalang Park di sini seolah-olah menjadi petanda kedai buku berusia lebih tiga dekad itu kembali ‘bernyawa’.

Bagi pemilik kedai, Shirley Lau, 59, inilah waktu yang ditunggu-tunggu setiap tahun ketika jualan buku, majalah dan akhbar semakin merudum, jualan bendera daripada yang bersaiz kecil berharga RM1.50 sehelai hinggalah ke bentuk gegantung  berharga RM10, menjadi penyelamat kepada pendapatannya.

“Walaupun tidak sehebat dulu, bendera tetap ada pembeli. Saya jual di kedai dan secara dalam talian. Setiap helai bendera yang terjual bukan sekadar wang tapi tanda kedai ini masih wujud,” katanya kepada Bernama.

Kedai buku yang dibuka sejak 1994 itu pernah menjadi tumpuan kaki buku pada era 80-an dan 90-an, ketika Kenyalang Park adalah pusat beli-belah utama warga Kuching.

Di rak hadapan, buku daripada pelbagai penerbitan, majalah popular dan akhbar berbahasa Cina, Melayu serta Inggeris disusun kemas menunggu pembeli, yang dahulunya boleh terjual berpuluh naskhah dalam sehari tetapi kini semakin lesu.

“Sekarang, hendak jual 10 helai surat khabar pun susah. Orang ramai lebih suka baca berita di telefon. Kedai buku seperti saya semakin kurang pembeli,” kata Shirley.

Shirley berkata suasana berubah sedikit setiap kali masuk bulan Ogos kerana pelanggan mula datang mencari Jalur Gemilang dan bendera Sarawak, Ibu Pertiwi untuk menghiasi rumah, kenderaan atau premis perniagaan mereka sempena Bulan Kebangsaan.

Dia berkata bendera dijual dalam pelbagai saiz dan bentuk sama ada melintang atau menegak mengikut spesifikasi rasmi yang ditetapkan.

“Semuanya ikut standard...terpulang kepada pelanggan mahu kain biasa atau kain yang lebih tebal,” katanya.

Tidak ketinggalan untuk memanfaatkan platform dalam talian seperti Grab bagi memudahkan pembelian, namun dia mengakui hasil jualan melalui kaedah ini belum begitu banyak, berbanding permintaan yang datang terus, khususnya daripada pihak sekolah berdekatan. 

Bagi Shirley, setiap bendera yang terjual membawa makna lebih besar daripada sekadar keuntungan tetapi ia satu tanda kedai yang dibina dengan titik peluhnya masih bertahan walaupun dilanda arus perubahan zaman.

Mengakui cabaran perniagaan kini ibarat kais pagi makan pagi, dia berkata ramai peniaga lama di Kenyalang Park sudah gulung tikar, menjadikan deretan kedai yang dahulunya sibuk kini banyak yang kosong dan suasana kawasan itu juga jauh berbeza berbanding zaman kegemilangannya.

“Yang bertahan, terus bertahan. Tapi saya tidak bercadang mewariskan perniagaan ini kepada anak-anak sebab terlalu sukar dan untungnya tidak menentu,” ujarnya.

Di sebalik cabaran itu, dia tetap berpegang pada prinsip untuk menjual barangan yang berkualiti dan mengekalkan layanan mesra sebagai cara untuk memastikan pelanggan tetap tidak melupakan kedainya.

Zaman kegemilangan Guang Ming Bookstore sebagai toko buku tumpuan ramai mungkin sudah berlalu, namun pemiliknya yang bakal bergelar warga emas ini tetap sabar menanti waktu rezekinya meningkat, khususnya sewaktu sambutan Bulan Kebangsaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan