Ad Banner
 AM > BERITA

Pelabuhan Bintulu Meterai MoU Perkukuh Peralihan Tenaga Bersih Sarawak

11/08/2025 09:51 PM

KUCHING, 11 Ogos (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik antarabangsa bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi hab serantau bagi tenaga hijau dan bahan api lestari.

Pelabuhan Bintulu dalam kenyataan memaklumkan majlis pertukaran MoU itu yang disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg diadakan bersempena pelancaran rasmi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) di sini dan merupakan satu detik penting yang menunjukkan komitmen BPHB terhadap kepimpinan tenaga bersih.

Mewakili BPHB dalam majlis pertukaran MoU itu, Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Seri Fong Joo Chung manakala rakan strategik diwakili oleh Pengurus Besar Sakura Ferroalloys Sdn Bhd Rudolph du Perez, Pengerusi Borneo Biogas Pte Ltd Tan Soo Kong dan Pengerusi Jiangsu Guofu Hydrogen Energy Equipment Co. Ltd. (Guofuhee) Wu Pinfang.

“MoU pertama dimeterai bersama Sakura Ferroalloys untuk bekerjasama dalam inisiatif penyahkarbonan dengan tumpuan kepada pembangunan bioetanol dan bahan api penerbangan mampan (SAF). Inisiatif ini menyokong Strategi Sifar Karbon Sarawak 2050 dan selari dengan kerangka alam sekitar global seperti Mekanisme Penyesuaian Sempadan Karbon (CBAM),” menurut kenyataan itu.

MoU kedua pula dimeterai bersama Borneo Biogas, sebuah syarikat yang mengkhusus dalam pengeluaran mampan biometana dan gas asli cecair bio (Bio-LNG) yang diperoleh daripada minyak sawit dan sisa pertanian.

“Kerjasama ini akan meneroka kebolehlaksanaan untuk membangunkan keupayaan pengeluaran Bio-LNG di Sarawak, termasuk pembangunan infrastruktur bunkering Bio-LNG dan penggunaan Bio-LNG untuk membekalkan tenaga kepada kapal sokongan pelabuhan,” katanya.

MoU ketiga pula ditandatangani bersama Guofuhee, sebuah syarikat berpangkalan di China yang mengkhusus dalam peralatan dan sistem tenaga hidrogen, dengan objektif untuk membangunkan kemudahan hidrogen cecair, sekali gus meletakkan Pelabuhan Bintulu sebagai pemangkin utama dalam logistik dan eksport hidrogen.

MoU itu turut memberi keutamaan kepada permintaan tempatan terhadap hidrogen untuk sektor industri dan pengangkutan Sarawak, termasuk potensi penggunaan kapal berkuasa hidrogen dalam operasi Pelabuhan Bintulu, seiring dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi peneraju global dalam eksport hidrogen.

“Setiap kerjasama ini akan digerakkan melalui kajian kebolehlaksanaan yang tertumpu dan perbincangan teknikal berterusan bagi menentukan kriteria kejayaan utama. Usaha ini dirangka bagi memastikan pelaksanaan berkesan yang selari dengan objektif Sarawak untuk mencapai sifar bersih karbon menjelang 2050,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan