KOTA KINABALU, 12 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.
Kunjungan itu, yang merupakan kali pertama sejak Tun Musa dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah, turut disertai Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli, Pegawai Berita Noorazlina Jindeh dan Jurufoto, Zamain Singkui.
Pertemuan selama kira-kira 40 minit di Dewan Kunjungan Khas berlangsung dalam suasana mesra, dengan perbincangan merangkumi peranan media agensi kerajaan dalam menangani penyebaran berita palsu melalui media massa.
Wong berkata pertemuan itu juga membincangkan perkongsian pandangan, idea serta isu-isu semasa di Sabah, selain usaha meningkatkan liputan berita bagi memerangi maklumat tidak sahih di media sosial.
Beliau menegaskan media kerajaan seperti Bernama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan perlu menambah baik mutu liputan berita, khususnya di Sabah yang berdepan pelbagai isu politik, sosial, pembangunan dan ekonomi.
“Sebagai agensi berita, Bernama dan RTM mesti memberikan maklumat yang tepat serta liputan yang berkualiti kerana di media sosial banyak cerita yang mungkin tidak tepat, berbaur fitnah dan politik,” katanya, sambil menambah media kerajaan adalah sumber yang dipercayai.
Justeru, Wong berkata sebagai sebuah media agensi kerajaan, penyampaian berita yang tepat amat penting bagi memastikan rakyat Sabah dan Semenanjung mendapat maklumat yang benar.
Pada 1 Jan lepas, Musa yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke-14 dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-11 bagi tempoh empat tahun bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2028 menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh pada 31 Dis 2024, selepas memegang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Jan 2011.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial