Ad Banner
 AM > BERITA

Grab Malaysia Bekerjasama Dengan Liga Wanita Nasional, Perkasa Wanita Dalam Sukan

12/08/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) --  Grab Malaysia (Grab) menjalinkan kerjasama dengan Liga Wanita Nasional (LWN) sebagai platform e-hailing dan penghantaran makanan rasmi untuk liga tersebut, bagi memartabatkan penglibatan wanita dalam sukan bola sepak. 

Dalam kenyataan hari ini, Grab memaklumkan kerjasama itu bertujuan mengangkat prestij liga dan memperkasakan suara atlet wanita agar bola sepak wanita menerima pengiktirafan serta sokongan sewajarnya.

Kerjasama tersebut diumumkan semasa pelancaran musim 2025 LWN pada akhir Julai lepas yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

“Edisi kejohanan tahun ini menampilkan penyertaan lapan pasukan - Kelana United FC, KL Rangers FC, Kuala Lumpur FA, MBSJ FC, Red Eagles FC, Sabah FA, Selangor FC dan Young Tigress.

“Menerusi kerjasama ini, Grab Malaysia akan memanfaatkan platformnya untuk meningkatkan keterlihatan perlawanan LWN, memperkayakan pengalaman para peminat serta memperkasa atlet wanita di dalam dan di luar padang,” menurut kenyataan itu. 

Grab berharap gandingan itu dapat menyemarakkan semangat rakyat Malaysia untuk menyokong bola sepak wanita sambil meraikan ketabahan, bakat dan kesungguhan para pemain.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata kerjasama tersebut seiring komitmen Grab memperkasa wanita supaya terus maju sama ada dalam memecahkan batasan di padang mahupun mengejar peluang dalam kehidupan seharian.

“Kerjasama kami dengan LWN mencerminkan misi ini dan menegaskan dedikasi kami memacu pemerkasaan ekonomi inklusif. Melalui inisiatif seperti #SisBoleh, kami menyediakan peluang penjanaan pendapatan fleksibel untuk wanita bagi membantu mereka mencapai kejayaan dengan cara tersendiri.

“Apa yang lebih menginspirasikan ialah beberapa pemain berbakat dalam liga ini juga merupakan rakan pemandu dan penghantar di platform kami, simbol ketabahan dan semangat juang luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob menyifatkan kerjasama ini sebagai gerakan bermakna untuk mengangkat bola sepak wanita dan memperkasa suara atlet wanita di seluruh negara.

“Sukan wanita berhak mendapat lebih banyak liputan dan dorongan. Dengan sokongan Grab Malaysia, kita mengambil langkah penting membangunkan liga ini dan memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk menyokong atlet-atlet hebat ini.

“Bersama, kita bukan sahaja memacu kemajuan wanita dalam bidang sukan malah kita mencipta peluang untuk generasi seterusnya agar berani bermimpi dan meraih lebih banyak kejayaan,” katanya. 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Grab akan memanfaatkan aplikasinya untuk mempromosi perlawanan dan pemain LWN serta menggalakkan rakyat negara ini untuk memberi sokongan padu kepada komuniti bola sepak wanita.

“Grab juga akan bekerjasama dengan LWN untuk menghasilkan kandungan berinspirasi yang menyerlahkan liga dan para atletnya bagi meningkatkan keterlibatan dan sambutan orang ramai.

“Di lokasi perlawanan, penonton boleh menikmati pengalaman yang lebih lancar dengan menempah makanan kegemaran mereka melalui GrabFood manakala para pemain LWN akan menerima pelbagai ganjaran dan keistimewaan eksklusif sebagai sebahagian daripada komitmen Grab untuk memperkasa wanita di dalam dan di luar padang,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan