Ad Banner
 AM > BERITA

2,153 Pengusaha Akuakultur Peroleh Pensijilan MyGAP

12/08/2025 04:25 PM

JERTIH, 12 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 2,153 pensijilan Amalan Akuakultur Baik (myGAP) dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada pemain industri akuakultur di seluruh negara setakat ini. 

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia Yeo Moi Eim berkata angka itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini termasuk di Terengganu. 

“Sebanyak 45 sijil myGAP dikeluarkan di Terengganu setakat ini kepada penternak ikan dengan 25 daripadanya membabitkan penternak dari daerah Besut. 

“Peningkatan ini didorong oleh kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan peserta hasil pelbagai usaha dilaksanakan Jabatan Perikanan Malaysia seperti bengkel dan promosi,” katanya selepas Majlis Perasmian Seminar myGAP ke arah Keterjaminan Makanan dan Penyerahan Insentif Perikanan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut di sini hari ini. 

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Datuk Dr Azman Ibrahim.  

Beliau berkata pensijilan myGAP adalah satu penarafan kepada pengusaha sektor Akuakultur yang mematuhi piawaian ditetapkan dalam mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat untuk dimakan. 

“Pensijilan myGAP yang dianugerahkan bukan menjadi penanda aras kualiti, malah pengiktirafan terhadap tanggungjawab sosial pengusaha untuk memastikan operasi ladang tidak mencemarkan alam sekitar serta menggunakan bahan yang selamat dimakan,” katanya. 

Sementara itu, Azman berkata kerajaan negeri juga membantu penternak agar lebih ramai yang memperoleh sijil itu dengan sasaran  500 penternak dalam tempoh dua tahun akan datang. 

“Selama ini, status tanah antara halangan kepada penternak untuk mendapatkan myGAP. Oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah  besar-besaran secara intensif untuk menyelesaikan isu tanah. 

“Matlamat kita tidak ada lagi penternak yang mengusahakan tanah kerajaan secara haram dan sebahagian besar telah diselesaikan termasuk ada kawasan yang diwartakan di bawah Zon Industri Akuakultur,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan