Ad Banner
 AM > BERITA

Majlis Bandaraya Ipoh Nafi Lantik Orang Tengah Untuk Permohonan Kios

12/08/2025 04:26 PM

IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan melantik mana-mana individu sebagai orang tengah bagi permohonan kios di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.

MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan promosi yang dilakukan individu berkenaan di laman sosial Facebook adalah palsu dan mengelirukan dengan orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati.

"MBI tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang dialami oleh mana-mana pihak yang menerima tawaran yang diiklankan secara tidak sah ini," menurut kenyataan itu.

MBI memaklumkan orang awam diminta menghubungi Unit Pengurusan Penjaja, Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI untuk mendapatkan maklumat tepat serta sahih berkaitan permohonan gerai.

Pada masa sama, MBI memberi amaran keras akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati memburukkan, memperlekeh atau mencemarkan nama baik MBI melalui penggunaan nama, premis atau kapasiti rasmi MBI tanpa kebenaran.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan