Ad Banner
 AM > BERITA

KPM Adakan Libat Urus Dengan Pihak Berkepentingan, Jelas Garis Panduan Tangani Buli

12/08/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi memberi penerangan mengenai garis panduan menangani salah laku buli, kata Menterinya Fadhlina Sidek.

Beliau berkata langkah itu adalah maklum balas kepada satu daripada empat tuntutan dalam memorandum #KeadilanUntukZara yang diserahkan kepada KPM oleh sekumpulan aktivis pelajar semasa himpunan aman di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen, di sini hari ini.

"Kementerian juga terbuka terhadap pandangan dan cadangan untuk menambah baik garis panduan sedia ada," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mengenai tuntutan supaya reformasi menyeluruh sistem pendidikan nasional dilaksanakan khususnya berkaitan isu buli, Fadhlina berkata kementeriannya telah mengumumkan beberapa langkah penting dalam usaha meningkatkan keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

"Hal ini termasuk dengan melakukan audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, menubuhkan jawatankuasa reformasi keselamatan, mengambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan memastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuh di setiap peringkat," katanya.

Bagi tuntutan mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada semua guru, pentadbir dan warden mengenai intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar serta tatacara profesional pengendalian aduan buli, Fadhlina berkata aspek latihan akan terus diperkasa bagi memastikan kesiapsiagaan pentadbir sekolah, guru dan warden berhadapan insiden seperti itu.

Fadhlina berkata semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya wajib mematuhi garis panduan menangani salah laku buli.

Mengenai tuntutan supaya KPM memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Fadhlina berkata kementeriannya akan memberi kerjasama penuh terhadap siasatan pihak polis dan perkembangan berkenaan kes itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“KPM menyambut baik langkah PDRM mewujudkan pasukan petugas khas bagi menangani kes yang melibatkan Allahyarham anakanda Zara Qairina,” katanya.

Sementara itu, Fadhlina juga memaklumkan bahawa beliau turut menerima kunjungan wakil aktivis pelajar berkenaan di Bangunan Parlimen hari ini bagi membincangkan secara lanjut semua kebimbangan yang dibangkitkan dalam memorandum itu.

 Terdahulu, media tempatan melaporkan  kira-kira 50 peserta terdiri daripada gerakan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan telah berarak dari Tugu Negara ke pintu masuk utama Parlimen bagi menuntut keadilan berhubung kematian remaja berusia 13 tahun itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan