Ad Banner
 AM > BERITA

Perang Mulut Ahli Parlimen Undang Kemarahan Speaker

13/08/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Perang mulut hingga menimbulkan kekecohan melibatkan beberapa Ahli Parlimen mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang menyifatkan insiden itu sebagai sangat memalukan.

“Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful (Sangat memalukan kamu semua, memalukan). Dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh,” katanya.

Situasi berkenaan susulan pertelingkahan antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, usai perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang).

Chong Zemin (PH-Kampar) bangun menggunakan Peraturan 36(1) Peraturan-Peraturan Majlis  Mesyuarat Dewan Rakyat dengan menyatakan Presiden PAS itu tidak langsung menyentuh mengenai RMK13 dalam perbahasan.

Ia membawa kepada kekecohan yang berlarutan kira-kira tujuh minit melibatkan antaranya Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut) dan Ahli Parlimen kerajaan RSN Rayer (Jelutong) sewaktu Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mempengerusikan mesyuarat itu.

Johari kemudian masuk ke dewan bagi mempengerusikan mesyuarat sebelum menegur sikap segelintir Ahli Parlimen yang bertikam lidah termasuk menggunakan perkataan kurang sopan.

“Budak-budak sekolah ada depan (dalam dewan), saya dengar dari chamber, (Ahli Parlimen) maki, guna perkataan-perkataan tak elok, semua tak elok.

“Kita nak negara ini maju, pemimpin kita maju, tak boleh macam ni,” katanya.

Johari kemudian meminta sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Young Syefura Othman (PH-Bentong) tanpa gangguan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan