Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Rancang Wujud Pusat Perlindungan Haiwan Jalanan- Exco

13/08/2025 03:54 PM

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Perak merancang untuk menyediakan pusat perlindungan sementara bagi haiwan jalanan, sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu populasi haiwan terbiar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai bagi tujuan itu.

Beliau berkata kerajaan negeri sememangnya berhasrat untuk memudah cara usaha ini dengan pusat perlindungan berkenaan akan diuruskan oleh NGO sebelum haiwan-haiwan berkenaan diambil dan dipelihara oleh pemilik baharu menerusi caj minimum.

“Usaha ini supaya ada tempat untuk (haiwan berkenaan) disimpan dan dijaga. Kita harap lebih banyak lagi pihak yang ingin menjalinkan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Perak Pawsitive Initiative 2025 Daerah Kinta di sini hari ini.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berangkat merasmikan majlis itu dan turut hadir, isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin serta Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.

Sandrea berkata langkah itu penting memandangkan peningkatan populasi haiwan jalanan sering dikaitkan dengan sikap pemilik yang tidak memandulkan haiwan peliharaan dengan setakat April tahun ini, sebanyak 1,421 kes berkaitan anjing diterima 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) Perak.

Beliau berkata kerajaan negeri telah melaksanakan kempen pemandulan bersubsidi dan kempen kesedaran masyarakat melalui platform Friends of Pawsitive Initiative, pertandingan fotografi, melukis serta pengambilan haiwan angkat bagi menangani isu berkenaan dan sebanyak 301 ekor anjing serta 254 ekor kucing telah dimandulkan di bawah Perak Pawsitive Initiative setakat 23 Jun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan