Ad Banner
 AM > BERITA

MySTI Buka Peluang Syarikat Teknologi Tempatan Tembus Pasaran Sektor Awam

13/08/2025 08:24 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Dasar Malaysian Science, Technology and Innovation (MySTI) mampu membuka peluang pasaran lebih besar kepada syarikat teknologi tempatan untuk menembusi sektor awam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) Mohammad Hazani Hassan.

Beliau berkata melalui pekeliling yang menyokong pelaksanaan dasar itu, syarikat tempatan boleh diberi keutamaan dalam proses perolehan kerajaan sekali gus memudahkan mereka memasuki pasaran teknologi yang sebelum ini sukar ditembusi.

“Dasar ini memberi manfaat berganda kepada inovator tempatan kerana selain membuka saluran pasaran, ia turut menggalakkan inovasi berasaskan keperluan sebenar pasaran sektor awam,” katanya kepada Bernama selepas taklimat penguatkuasaan dasar berkenaan di sini hari ini.

Taklimat anjuran MTDC dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kewangan (MOF) dan Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) itu memberi panduan kepada kementerian dan agensi mengenai cara merancang, menetapkan spesifikasi serta membuat pembelian produk berasaskan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan yang diperakui MySTI.

Pekeliling Perbendaharaan PP/PK1.4 yang berkuat kuasa pada 23 Jun lepas menetapkan produk dan perkhidmatan tempatan berlogo MySTI mesti diutamakan dalam perolehan kerajaan, dengan panduan khusus serta mekanisme pemantauan bagi tawaran berasaskan R&D.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Pemindahan Teknologi dan Pengkomersialan R&D MOSTI Boniface Edwin Manung berkata pekeliling tersebut menetapkan sasaran lima peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan kementerian atau agensi mesti melibatkan produk dalam inventori MySTI, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan.

“Semua kementerian dan agensi perlu memberi keutamaan kepada produk berlogo MySTI. Inventori ini boleh diakses di portal rasmi dan disenaraikan mengikut kategori. Jika ada perolehan yang sesuai, kementerian perlu mengutamakan pembekal tersebut yang akan mendapat markah lebih tinggi dalam penilaian,” katanya.

Beliau menambah MOF turut mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyokong pelaksanaan dasar itu termasuk mengenakan syarat penggunaan produk MySTI kepada kontraktor atau vendor yang mendapat konsesi.

Sehingga Julai lepas, sebanyak 506 produk dan perkhidmatan telah diluluskan untuk penggunaan logo MySTI dan disenaraikan dalam inventori rasmi.

Daripada jumlah tersebut, 24 produk MySTI telah atau sedang diuji penggunaannya oleh kementerian melalui pembiayaan Dana Uji Beli manakala dua telah menerima tempahan kerajaan dan dibiayai oleh Dana Mudahcara MySTI.

Di bawah kerangka MySTI, MTDC berperanan sebagai perunding teknologi rasmi, membantu agensi memadankan keperluan dengan penyelesaian yang diperakui, selain menyediakan dua dana pemangkin iaitu Dana Uji Beli MySTI dan Dana Mudahcara MySTI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan