Ad Banner
 AM > BERITA

PBT Akan Beri Notis Perobohan Jeti Haram Dalam Masa Terdekat

13/08/2025 05:23 PM

KOTA BHARU, 13 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menghantar notis pemberitahuan kepada pemilik jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi menyegerakan kerja perobohan, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata objektif utama langkah itu diambil bagi memastikan aktiviti yang bersifat penyeludupan, khususnya dadah dapat ditangani.

"Kita menyokong sepenuhnya langkah polis untuk meroboh jeti haram sepanjang Sungai Golok ini kerana ia langkah wajar bagi membersihkan sempadan daripada kegiatan penyeludupan.

"Mungkin bagi pemilik jeti ia satu kerugian tetapi sebagai kerajaan kita perlu fikirkan kemaslahatan seluruh rakyat dan tindakan ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau berkata perobohan jeti oleh pihak polis dengan kerjasama PBT dan beberapa agensi lain itu tidak akan diberikan sebarang pampasan berikutan pembinaan dilakukan secara haram.

Mohamed Fadzli berkata tindakan itu terpaksa diambil memandangkan terdapat bukti yang menunjukkan aktiviti penyeludupan dilakukan melalui jeti haram.

"Memang kita difahamkan dadah masuk ke Malaysia melalui Kelantan dan sebagai 'front liner' kita yang paling terkesan, anak muda kitalah orang pertama yang dapat bekalan itu," katanya. 

Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata 128 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga Rantau Panjang, Pasir Mas bakal dirobohkan oleh PBT selepas mendapat surat kebenaran daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata tindakan tersebut bertujuan memperkukuh kawalan sempadan dan mengekang jenayah rentas sempadan Malaysia-Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan