Ad Banner
 AM > BERITA

Pulau Pinang Tumpuan Maritim Serantau, 10 Kapal Perang Bakal Berlabuh Sempena ANCM

13/08/2025 05:49 PM

GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang bakal menjadi pentas utama kepada acara ketenteraan maritim terbesar di rantau ini anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mulai 15 hingga 22 Ogos ini, melibatkan tiga acara utama sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Acara berkenaan ialah Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19, Eksais Tentera Laut Multilateral ASEAN (AMNEX) ketiga dan ASEAN Fleet Review (AFR) yang akan berlangsung di beberapa lokasi sekitar George Town dan Batu Ferringhi selain turut membuka ruang keterlibatan kepada masyarakat awam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja ANCM Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohd Fadzli Kamal Mohd Mohaldin berkata program akan bermula pada 15 Ogos dengan ketibaan kapal-kapal tentera laut ASEAN di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham Pulau Pinang (SPCT).

 “Ia akan melibatkan kehadiran tujuh buah kapal perang tentera laut ASEAN dan tiga kapal perang TLDM, dengan sekitar 1,600 orang warga kapal secara keseluruhannya. 

"Seterusnya, pada 16 Ogos akan berlangsung Majlis Pembukaan AMNEX dan permulaan Fasa Pelabuhan AMNEX ketiga untuk memberikan ruang serta peluang kepada semua pegawai operasi kapal untuk membincangkan dan memperhalusi perancangan latihan yang akan dilaksanakan sewaktu Fasa Laut AMNEX kelak," katanya dalam temu bual bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

Di samping itu, Mohd Fadzli Kamal berkata TLDM juga akan menganjurkan Persidangan Kejuruteraan Tentera Laut (NEC) iaitu forum ilmiah yang menghimpunkan jurutera tentera laut serantau untuk berkongsi ilmu mengenai perkembangan teknologi serta inovasi kejuruteraan dengan tema “Innovation and Technology Towards Improving Ship Survivability at Sea”.

Antara acara utama yang dibuka kepada orang awam ialah ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) iaitu inisiatif TLDM bagi mempromosikan tradisi tentera laut kepada masyarakat umum pada 17 Ogos di Esplanade, Padang Kota Lama yang diadakan bersama Hari Buletin 4.0, anjuran kerajaan negeri. 

Beliau berkata penganjuran ANCP di Pulau Pinang memiliki signifikan sejarah kerana mengimbau detik pelaksanaan International Royal Fleet Review (IRFR) pada Mei 1990 yang melibatkan 59 kapal perang dan 11,000 warga tentera laut dari pelbagai negara.

Kapal perang yang berlabuh di SPCT juga dibuka untuk lawatan umum dan pengunjung berpeluang menaiki serta melihat sendiri keupayaan serta teknologi yang digunakan oleh angkatan laut serantau.

"Ini merupakan peluang yang sangat istimewa kerana tidak selalu orang awam diberi akses sebegini, selain itu perarakan kontinjen tentera laut ASEAN dan agensi setempat, persembahan kebudayaan, lintas hormat aset maritim, lintas terbang helikopter TLDM dan sebagainya juga dirancang sewaktu aktiviti ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Fadzli Kamal berkata ANCM ke-19 yang menghimpunkan panglima-panglima tentera laut ASEAN bagi membincangkan hala tuju kerjasama maritim serantau serta mengukuhkan kepercayaan dan persefahaman bersama, akan berlangsung di Shangri-La Rasa Sayang Resort, Batu Ferringhi pada 19 Ogos.

Mengulas lanjut, katanya mesyuarat berkenaan juga bertujuan memupuk jalinan kerjasama dan persahabatan yang lebih erat dalam kalangan tentera laut negara ASEAN pada masa hadapan. 

Beliau memaklumkan program akan diteruskan dengan aktiviti ASEAN CN Interaction Programme di Bukit Bendera pada 20 Ogos manakala kemuncak aktiviti sepanjang tempoh tersebut adalah pelaksanaan AFR pada 21 Ogos.

"Semua kapal TLDM dan negara ASEAN akan membuat pelayaran dalam bentuk formasi di Selat Utara dan boleh disaksikan oleh semua rakyat Pulau Pinang dari Butterworth dan George Town," katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput masyarakat setempat khususnya pelajar, keluarga dan pencinta dunia maritim untuk turut serta dalam program berkenaan yang akan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan antara rakyat dan tentera laut. 

Dalam pada itu, Mohd Fadzli Kamal berharap agar penganjuran ANCM, AMNEX dan AFR itu menjadi titik tolak penting kepada pengukuhan kedudukan TLDM sebagai angkatan laut yang profesional, disegani dan relevan pada masa hadapan

“Saya juga berharap agar kejayaan penganjuran ini akan menjadi satu penanda aras baharu bagi TLDM dalam penganjuran acara ketenteraan bertaraf antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia sebagai peneraju kerjasama maritim di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan