Ad Banner
 AM > BERITA

229 Pelawat Asing Tidak Dibenarkan Memasuki Negara Di KLIA - AKPS

13/08/2025 09:09 PM

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 229 pelawat asing dari pelbagai negara dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak semalam.

AKPS memaklumkan kesemua pelawat berkenaan dikesan gagal mematuhi syarat kemasukan semasa operasi bersepadu yang dilaksanakan sejak 7.30 pagi semalam hingga 7.30 pagi tadi di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2.

“Sebanyak 764 pelawat diperiksa menerusi operasi itu. Warganegara Bangladesh mencatat bilangan NTL tertinggi iaitu 204 orang diikuti India (14), Sri Lanka, Pakistan, Indonesia masing-masing tiga manakala dua dari Kemboja.

"Daripada jumlah warga Bangladesh itu, sebanyak 66 orang dikesan tiba di KLIA 1 menerusi tiga penerbangan dari Dhaka pada awal pagi," menurut AKPS dalam kenyataan.

Menurut AKPS antara punca utama penolakan masuk ialah pelawat terbabit mengemukakan tempahan hotel palsu, tidak memiliki tiket penerbangan pulang serta gagal membuktikan kemampuan kewangan yang mencukupi. 

"Kesemua individu itu dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di negara ini," menurut kenyataan itu.

Dalam kes berlainan, AKPS memaklumkan  seorang lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 50-an ditangkap semalam disyaki cuba memasuki Malaysia selepas hanya enam hari diusir atas kesalahan sama pada 7 Ogos lepas. 

Menurut AKPS, individu itu dihantar pulang serta-merta dan diberi amaran keras.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan