Ad Banner
 AM > BERITA

Fahmi Mahu Penduduk Asal Diutamakan Dalam Pemilikan Rumah Di Kampung Kerinchi

14/08/2025 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mahu pemilikan unit  sebarang projek perumahan termasuk Residensi Wilayah dan Residensi MADANI di kawasan Kampung Kerinchi mengutamakan pembeli dalam kalangan warga Kerinchi. 

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mencadangkan 50 hingga 60 peratus pemilikan rumah perlu diberikan kepada anak-anak dari Kampung Kerinchi, khususnya generasi kedua dan ketiga yang kini terpaksa menetap di luar kawasan berkenaan.

“Ramai anak dari kawasan ini, termasuk ahli Persatuan Waris Kerinchi kini tinggal di luar, jadi kita harap melalui dasar ini, mereka mampu kembali dan menetap semula di kawasan asal mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mercu tanda Kampung Kerinchi di hadapan KL Gateway Mall, di sini hari ini.

Fahmi berkata dasar keutamaan pemilikan rumah itu adalah antara beberapa langkah yang dirangka bagi memartabatkan identiti dan sejarah Kampung Kerinchi.

Mengenai perasmian mercu tanda Kampung Kerinchi, Fahmi berkata ia merupakan kesinambungan usaha yang dimulakan sejak penggal pertamanya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai.

"Usaha saya tidak berhenti di sini. Kita bercadang membina satu lagi mercu tanda di pintu masuk lain Kampung Kerinchi dan sedang berbincang dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) untuk mewartakan kawasan ini secara rasmi sebagai Kampung Kerinchi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya hubungan antara komuniti dengan syarikat-syarikat besar yang beroperasi di kawasan itu seperti Touch 'n Go Digital untuk menganjurkan program latihan industri dan hari terbuka bagi membuka peluang kepada anak-anak Kerinchi.

Fahmi turut menjelaskan bahawa pembangunan pesat seperti Bangsar South, Pantai Panorama dan Pantai Hillpark masih berada dalam sempadan Kampung Kerinchi, yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Waris Kerinchi Baharuddin Hasan, 74, menzahirkan rasa bangga dengan wujudnya mercu tanda berkenaan yang merupakan harapan penduduk sejak sekian lama untuk mengiktiraf sejarah pembangunan di kawasan itu. 

“Harapan kita, orang Kampung Kerinchi ini memang kita hendakkan satu mercu tanda yang menunjukkan identiti Kampung Kerinchi.

“Kalau ikut sejarahnya lebih kurang, zaman Sultan Abdul Samad dulu kira-kira 1850-an Kampung Kerinchi dibangunkan, seangkatan dengan Kampung Haji Abdullah Hukum, jadi kita tidak mahu nama dan sejarah ini pupus ditelan pembangunan yang bertambah pesat di kawasan ini,” katanya yang merupakan generasi keempat menetap di situ. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan