KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 434 syarikat melibatkan lebih 34,000 kuota disyorkan untuk kelulusan hingga 9 Julai 2025 bagi permohonan kuota penggajian pekerja asing, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata dengan adanya kelulusan khas itu ia dapat menampung kekurangan tenaga kerja sekali gus meningkatkan produktiviti dan hasil negara.
"Bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja berkenaan, kerajaan memberi kelulusan khas permohonan kuota penggajian pekerja asing secara case by case basis untuk sektor perladangan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai jumlah bilangan tenaga buruh yang diperlukan untuk sektor perladangan, terutamanya sawit dan getah serta kuota pekerja asing diberikan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Chan berkata berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia hingga 30 Jun 2025, jumlah pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif bagi sektor perladangan sebanyak 258,153 orang.
Jumlah itu masih tidak mencukupi dan pihak industri melaporkan masih terdapat keperluan tambahan guna tenaga sebanyak 30,000 hingga 40,000 orang, mengambil kira pekerja asing yang telah pulang ke negara asal kerana tamat tempoh permit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial