Ad Banner
 AM > BERITA

Kibaran Jalur Gemilang Lambang Penyatuan Rakyat Malaysia

14/08/2025 09:30 PM

PUTRAJAYA, 14 Ogos (Bernama) --Kibaran Jalur Gemilang bukan sekadar mengangkat sehelai kain, sebaliknya melambangkan penyatuan rakyat berbilang kaum, agama, dan latar belakang, kata Timbalan Pengarah Cawangan Perhubungan dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JAPEN), Hazlianayati Sudin @ Subdin.

Beliau menyeru rakyat menyahut inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

“Inisiatif ini diharapkan dapat menggelorakan kibaran Jalur Gemilang di setiap rumah, premis kerajaan, perniagaan, dan kenderaan rakyat,” katanya pada taklimat media berhubung tatacara penerbitan dan penggunaan Jalur Gemilang di sini, hari ini.

Katanya inisiatif Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang yang diperkenalkan oleh JAPEN pada 19 Mei 2024 itu diperluaskan kepada tujuh kluster tahun ini, meliputi pendidikan, keselamatan, kesihatan, agensi kerajaan, pendidikan tinggi, komuniti, dan industri.

Jalur Gemilang mula diperkenalkan pada 31 Ogos 1957 sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu sebelum diterima sebagai bendera Malaysia pada 1963.

Ia terdiri daripada 14 jalur merah dan putih melintang sama lebar, dengan bahagian biru tua beranakan bulan dan bintang pecah 14 berwarna kuning. Nama “Jalur Gemilang” diumumkan secara rasmi pada 31 Ogos 1997 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung pada 31 Ogos di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia pada 16 September di Pulau Pinang.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan