Ad Banner
 AM > BERITA

Darjah, Bintang Kebesaran Sabah Pengiktirafan Penting Usaha Bernama Bantu Sabah

14/08/2025 09:36 PM

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Sabah kepada dua warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merupakan pengiktirafan penting terhadap usaha agensi berita rasmi negara itu dalam menyebarkan maklumat tepat bagi membangunkan negeri itu.

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman menganugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) kepada Ketua Biro Bernama di negeri itu Fadzli Ramli dan Bintang Setia Kinabalu (BSK) kepada jurufoto agensi berkenaan Zamain Singkui dalam istiadat di Istana Seri Kinabalu di sini yang menyaksikan 151 penerima pada sesi kedua penganugerahan hari ini.

Seorang lagi petugas Biro Bernama Sabah Emin Madi telah dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk semasa sesi pertama penganugerahan pada 22 Jun lepas.

Fadzli, yang telah berkhidmat lebih 15 tahun di Bernama, menyifatkan penganugerahan itu bukan sahaja penghargaan peribadi tetapi juga pengiktirafan kepada peranan penting agensi berita berkenaan dalam landskap media di Sabah.

"Anugerah ini adalah satu tanggungjawab besar untuk terus memastikan Bernama kekal sebagai sumber berita yang dipercayai rakyat Sabah.

“ADK ini bukan milik saya seorang tetapi merupakan pengiktirafan kepada seluruh pasukan Bernama Sabah yang bekerja tanpa mengenal penat lelah," katanya selepas majlis berkenaan.

Beliau berkata anugerah itu akan menjadi pendorong kepada seluruh warga Bernama Sabah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dalam menyampaikan maklumat tepat dan terkini mengenai pembangunan pesat yang sedang berlaku di Negeri di Bawah Bayu.

Zamain, yang sudah bersama dengan Bernama lebih 30 tahun, pula berkata penganugerahan BSK itu merupakan detik bersejarah dalam kerjaya beliau dan memberi makna yang mendalam kepada profesion kewartawanan visual.

"Sepanjang perkhidmatan, saya hanya memfokuskan untuk menghasilkan gambar yang berkualiti dan mampu menyampaikan cerita secara visual kepada rakyat.

“Pengiktirafan ini membuktikan bahawa peranan jurufoto dalam menyampaikan maklumat adalah sama pentingnya dengan penulisan berita," katanya yang telah menghasilkan ribuan gambar berkaitan pembangunan Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan