Ad Banner
 AM > BERITA

Persiapan Infrastruktur VJY 2026 Hampir 90 Peratus Siap

15/08/2025 09:06 PM

ISKANDAR PUTERI, 15 Ogos (Bernama) -- Tahap persediaan infrastruktur dan produk pelancongan Johor kini hampir 90 peratus siap, dengan pelbagai promosi giat dijalankan bagi merealisasikan sasaran menarik 12 juta pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 (VJY2026).

Strategi promosi itu merangkumi pemasaran di pintu masuk utama seperti lapangan terbang, terminal feri, pintu masuk sempadan, kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta laluan utama di seluruh negeri.

Pengarah Tourism Johor Mohammad Nazrul Abd Rahim berkata tumpuan turut diberikan kepada promosi di media sosial, media arus perdana serta kerjasama dengan pempengaruh dan artis dalam usaha mengetengahkan keistimewaan produk pelancongan di negeri itu.

“Kita sudah hampir 13 tahun tidak menganjurkan Tahun Melawat Johor. Ia sepatutnya dilaksanakan pada 2020, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Kini adalah masa dan tahun terbaik untuk kita melaksanakan semula kempen Visit Johor,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Pelekat VJY2026 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau berkata antara pembangunan produk pelancongan telah dilaksanakan melibatkan projek naik taraf Zoo Johor dengan pembukaan fasa malam dan pembangunan semula produk ekopelancongan seperti Air Terjun Gunung Ledang yang akan dibuka semula dalam masa terdekat.

Mengenai program hari ini, Mohammad Nazrul berkata ia adalah sebahagian daripada permulaan gerakan besar pihaknya dalam mempromosi VJY2026 secara menyeluruh, inklusif dan berimpak tinggi demi memartabatkan Johor sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama negara.

“Kita mulakan inisiatif ini bersama Persatuan Pelancongan Negeri Johor dahulu. Kita akan cuba untuk memperbanyakkan pelekat ini pada masa akan datang dengan sasaran lebih 10,000 pelekat (dipamerkan) di semua pengangkutan awam di Johor,” katanya.

Pelancaran pelekat rasmi hari ini membabitkan pelbagai jenis pengangkutan termasuk beca, motosikal, kereta, bas persiaran, karavan dan perkhidmatan e-hailing.

Pada Mei lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil secara langsung dan tidak langsung berjumlah RM42 bilion sempena VJY2026, berdasarkan unjuran kehadiran 12 juta pelancong tahun depan.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan