Ad Banner
 AM > BERITA

Spesies Unik, Harga Tinggi: Merbah Jambul Jadi Buruan

16/08/2025 11:42 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

TANAH MERAH, 16 Ogos (Bernama) -- Bertubuh kecil, bersuara nyaring dan berpenampilan unik.

Itulah keistimewaan Merbah Jambul, spesies burung kicau yang bukan sahaja menjadi rebutan peminat seluruh negara, malah nilainya ada yang mencecah setaraf sebuah motosikal berkuasa tinggi.

Lebih istimewa, kepelbagaian spesies seperti Merbah Jambul Eaglehead, Merbah Jambul Putih, Merbah Jambul Grey, Merbah Jambul Albino bermata merah serta Merbah Jambul India yang memiliki variasi warna serta kicauan tersendiri menambah lagi nilai dan tarikan burung ini di pasaran.

Pengusaha burung Merbah Jambul, Nik Muhammad Arif Afiq Roskayuszoki, 28, berkata dia mula berkecimpung dalam perusahaan ini pada pertengahan tahun lepas setelah melihat potensi besar dalam kalangan peminat burung.

“Pada awalnya ia hanya hobi saya dengan memelihara sekitar lima ekor burung Merbah Jambul. Saya sering memuat naik gambar dan video burung ini di Facebook (Kayuski Enterprise) serta TikTok (Kayuski Farm), namun tidak menyangka ia mendapat perhatian ramai hingga ada menawarkan untuk membelinya.

“Sejak itu, saya sedar spesies ini mempunyai nilai tinggi dan komuniti peminatnya sanggup berhabis ribuan ringgit hanya untuk memiliki seekor burung Merbah Jambul yang ‘berbakat’,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Bukit Merah.

Graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu tekad menjadikan penternakan Merbah Jambul sebagai sumber pendapatan utama dengan menambah hingga 300 ekor burung sebagai permulaan. 

Selain itu, dia turut mengembangkan usahanya melalui jualan ayam penelur serta peralatan penternakan seperti mesin penetasan telur unggas dan sangkar burung.

Untuk memenuhi permintaan pelanggan, Nik Muhammad Arif mendapatkan bekalan Merbah Jambul hampir setiap minggu daripada pembekal di seluruh Thailand, dengan purata 300 ekor setiap kali penghantaran.

Kini, dia mampu menjual antara 10 hingga 50 ekor sehari kepada pelanggan di seluruh negara termasuk Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Pahang, sama ada secara terus atau melalui penghantaran menggunakan kurier haiwan ternakan.

“Setiap burung dijual bermula pada harga RM50 seekor dan mampu mencecah sehingga RM5,000 bergantung kepada jenis, gaya, jambul, jantina, warna, kelincahan dan kenyaringan suara,” katanya yang kini memiliki hampir 500 ekor pelbagai jenis Merbah Jambul.

“Kebanyakan pelanggan yang datang secara terus mahu melihat sendiri keunikan burung ditawarkan, selain menilai kelincahan, gaya dan nada suara sebelum membuat pembelian,” katanya.

Anak ketiga daripada enam beradik itu berkata penjagaan Merbah Jambul tidak sukar jika mengetahui teknik asas seperti pemilihan sangkar, pendedahan kepada cahaya matahari, memandikan burung dua kali sehari serta menyediakan pola makanan yang betul.

“Kebiasaannya saya akan beri sebiji pisang abu putih sehari dan air vitamin, selain makanan tambahan seperti ulat roti, belalang dan cengkerik.

"Persekitaran yang bersih dan terjaga penting untuk memastikan kesihatan burung, sekali gus mengoptimumkan mutu kicauan dan kelincahannya yang menjadi faktor utama dilihat oleh pembeli,” katanya.

Selain itu, Nik Muhammad Arif berkata Merbah Jambul mempunyai kicauan tersendiri bergantung kepada baka dan persekitaran, dan sesetengahnya mampu meniru bunyi merbah spesies lain yang menambah keunikan nyanyiannya.

Nik Muhammad Arif mengakui minat yang pada awalnya sekadar hobi kini bertukar menjadi sumber rezeki yang tidak pernah dijangka, meskipun bermula dengan modal kecil.

“Jika diusahakan dengan ilmu dan komitmen, bidang ternakan seperti ini berpotensi menjadi kerjaya stabil dan membanggakan, terutamanya untuk golongan muda. 

"Permintaan terhadap ternakan juga tidak pernah putus, menjadikan bidang ini kurang berisiko berbanding bidang lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan