KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Suasana hujung minggu di ibu negara hari ini meriah dengan kibaran Jalur Gemilang oleh Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang menjelajah ke tiga kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan membawa mesej patriotisme dan perpaduan.
Konvoi yang disertai 72 kenderaan dengan 103 peserta itu dilepaskan oleh Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKLP) Lt Kol Bersekutu (PA) Sabarudin Yeop Hamzah dari Wisma FGV di sini, kira-kira 8.40 pagi tadi.
"Pagi ini JAPEN WPKLP bersama NGO (pertubuhan bukan kerajaan), pejabat Parlimen dan agensi serta rakan permotoran Suzuki V-Strom, kita akan menjelajah seluruh Wilayah Persekutuan melibatkan tiga Parlimen iaitu Wangsa Maju, Cheras dan Lembah Pantai," katanya kepada Bernama sebelum pelepasan konvoi.
Empat lokasi persinggahan konvoi ialah di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di Wangsa Maju, KWC Fashion Wholesale di Cheras, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu serta McDonald's Pantai Sentral Park di Lembah Pantai.
Di sepanjang laluan dan hentian itu, konvoi mencuri perhatian orang ramai apabila peserta mengibarkan Jalur Gemilang daripada kenderaan masing-masing selain turut mengedarkan bendera kecil kepada orang ramai.
Sabarudin berkata program jelajah seluruh negara bermula 27 Julai lepas itu adalah sebahagian usaha menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM2025).
"Ini merupakan satu gerakan yang kita buat untuk memastikan rakyat menyedari tanggungjawab mereka untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing. Satu rumah, satu Jalur Gemilang, inilah manifestasi rakyat kita bahawa masa untuk kita sama-sama membuktikan cinta pada tanah air," katanya.
Konvoi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sabarudin berkata mesej utama yang ingin disampaikan melalui konvoi itu ialah kasih sayang rakyat terhadap negara dapat diterjemahkan melalui tindakan mengibarkan Jalur Gemilang.
"Saya harap rakyat di luar sana bersama dengan kita. Lepas ini setiap rumah ada bendera sendiri sebagai terjemahan cinta dan kasih sayang kepada negara," katanya.
Pada 27 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor sebelum melepaskan Konvoi KMJG 2025 yang akan menjelajah seluruh negara.
Konvoi itu akan melalui 88 hentian iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) serta Wilayah Persekutuan Labuan (2) sebelum dijadual berakhir pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial