Ad Banner
 AM > BERITA

Kumpulan Prasarana Lantik Amir Hamdan Sebagai Presiden Dan Ketua Pegawai Eksekutif

16/08/2025 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan rasmi Amir Hamdan sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), berkuat kuasa semalam (15 Ogos).

Sebelum ini, Amir dilantik sebagai Pemangku PGCEO pada 1 Julai lepas.

Pengerusi Prasarana Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata pelantikan tersebut adalah hasil prestasi cemerlang serta sumbangan signifikan Amir sejak menyertai syarikat itu.

“Kepimpinan beliau yang tenang, berwibawa dan berpaksikan budaya kerja syarikat telah membuktikan keupayaannya memacu Kumpulan Prasarana ke hadapan.

“Lembaga Pengarah yakin beliau akan terus membawa organisasi ini mencapai kejayaan lebih besar, selaras dengan matlamat nasional memperkukuh sistem pengangkutan awam negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Amir menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas pelantikan tersebut, yang disifatkannya sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar.

“Dengan sokongan seluruh warga kerja Prasarana, saya bertekad memperkukuh sistem pengangkutan awam negara melalui pendekatan inklusif, berdaya saing dan berteraskan rakyat. Saya percaya dengan semangat kerjasama serta komitmen bersama, kita mampu membawa Prasarana ke tahap lebih cemerlang demi manfaat masyarakat dan negara,” katanya.

Amir menyertai Prasarana pada 2019 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, operasi serta strategi korporat.

Beliau sebelum ini telah memegang beberapa jawatan di dalam Prasarana termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan