PADANG BESAR, 16 Ogos (Bernama) -- Program ‘Perlis Connect’ yang dianjurkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Padang Besar Street di sini hari ini, menjadi platform efektif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti mengenai penggunaan Internet selamat.
Pengunjung yang ditemui Bernama menyatakan menerusi program sehari itu mereka berpeluang mendapat pendedahan secara jelas dan terperinci tentang pelaksanaan Kempen Internet Selamat (KIS) oleh MCMC.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Muhammad Rifqee Mirza Mohd Sharizal, 14, berkata banyak ilmu dan maklumat baharu berkaitan penggunaan Internet secara selamat diperoleh semasa hadir ke program itu sekali gus memberikan kesedaran mengenai buli siber.
“Saya datang bersama guru untuk lawatan ini dan banyak perkara saya pelajari termasuk cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli siber,” katanya.
Berkongsi pendapat sama, suri rumah Juliana Arianti Armain, 39, yang datang dari Kangar bersama dua anaknya berusia lapan dan sembilan tahun berkata berkata program itu membantu ibu bapa memahami cabaran memantau penggunaan gajet oleh anak-anak terutama yang mempunyai capaian Internet.
“Dengan adanya program seperti ini, ia membuka mata kami mengenai ancaman di alam maya dan pentingnya mengambil langkah awal untuk melindungi keselamatan anak-anak,” katanya.
Sementara itu, penglibatan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dalam program itu telah memberi peluang kepada pengunjung mengetahui kemudahan disediakan, terutama sebagai platform untuk memasarkan produk.
Peniaga di Padang Besar Street, Ahmad Suhaimi Abdul Rahman, 48, berkata program Perlis Connect membantunya memahami lebih jelas tentang peranan NADI dalam membantu usahawan menguasai teknik pemasaran digital sekali gus meluaskan jaringan perniagaan.
“Saya menjual cadar, jadi bila ada program macam ini suasana jadi meriah, orang ramai boleh kenal produk kami. Saya baru tahu dengan adanya NADI, usahawan juga boleh belajar cara meluaskan perniagaan secara digital,” katanya.
Terdapat pelbagai pengisian menarik dan informatif sepanjang penganjuran program dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu, termasuk ‘pocket talk’ mengenai buli sebagai antara usaha memperhebatkan usaha antibuli dalam kalangan pelajar.
Bernama juga membawa studio bergerak atau ‘motorhome’ untuk memeriahkan lagi program itu dan memberikan peluang kepada pengunjung memperoleh pendedahan mengenai skop kerja dalam bidang kewartawanan dan penyiaran.
Di reruai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula pengunjung boleh membuat semakan saman serta mendapat tawaran diskaun 50 peratus bagi bayaran saman PDRM.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dijadual berkenan berangkat merasmikan program itu pada petang ini.
Antara yang akan turut hadir pada majlis perasmian itu Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ahli Suruhanjaya MCMC Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial