Ad Banner
 AM > BERITA

mySalam Salur Manfaat RM1.25 Bilion Kepada 1.74 Juta Penerima Setakat Ini

16/08/2025 10:30 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Skim perlindungan Takaful Nasional untuk komuniti (mySalam) telah menyalurkan manfaat tuntutan berjumlah RM1.25 bilion kepada seramai 1.74 juta individu setakat ini, sejak pelaksanaan pada 2019.

Ketua mySalam Syuhaib Ithnin menerusi satu kenyataan hari ini berkata angka itu membuktikan komitmen berterusan dalam membantu rakyat yang memerlukan, khususnya golongan B40 yang menjadi sasaran utama skim tersebut.

“Selain manfaat tunai dan perlindungan kesihatan, skim ini turut menjadi pemangkin kepada kesedaran kewangan dan pengurusan risiko dalam kalangan masyarakat berpendapatan rendah,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena penganjuran Karnival 3K: Kewangan, Kesihatan dan Kebajikan di Semariang di sini, hari ini.

Beliau berkata penganjuran karnival 3K itu bukan sahaja tentang memberi bantuan, tetapi juga memberi ilmu, akses dan peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan taraf hidup mereka secara holistik. 

MySalam yang diuruskan Great Eastern Takaful Berhad (GETB) menganjurkan Karnival 3K berskala besar berkenaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di Sarawak dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

Dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, ia juga dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful Shahrul Azlan Shahriman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia Mohd Radzuan Mohamed.

Syuhaib berkata karnival berkenaan melambangkan usaha Kerajaan MADANI dalam memperkukuh perlindungan kewangan, kesihatan dan kebajikan rakyat secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi untuk membangunkan masyarakat yang sejahtera, inklusif dan berdaya tahan.

Beliau berkata karnival itu turut membawakan pelbagai aktiviti berimpak tinggi kepada masyarakat, selain menjelaskan berkenaan Baucar Perlindungan Tenang (PTV) bernilai RM30 kepada dua juta rakyat Malaysia yang layak dengan jumlah keseluruhannya bernilai lebih RM60 juta.

Baucar PVT ini boleh ditebus bermula 1 Sept ini untuk mendapatkan pelan perlindungan takaful yang sesuai, merangkumi manfaat kematian sebagai nilai tambah kepada perlindungan mySalam sedia ada.

Ia turut menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma turut dibawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), selain sumbangan sebanyak 140 bakul makanan untuk keluarga asnaf. 

Karnival ini turut dimeriahkan dengan aktiviti taklimat kesedaran alam sekitar, sukan rakyat, Larian Merdeka dan cabutan rezeki.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan