Ad Banner
 AM > BERITA

MOTAC Lancar Pakej Pelancongan Istimewa Hargai Jururawat KKM Di Sibu, Bintulu

17/08/2025 10:51 AM

SIBU, 17 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan pakej pelancongan istimewa untuk jururawat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertugas di Sibu dan Bintulu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada sektor kesihatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pakej berkenaan merangkumi tiket penerbangan pergi balik dari Sibu atau Bintulu ke Kuala Lumpur pada harga hanya RM138.

“Jururawat boleh mendapatkan tiket penerbangan pada harga berkenaan menggunakan kod promosi Malaysia 68,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi Jururawat 2025 di sini malam tadi.

Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata 14 buah hotel di Semenanjung Malaysia dan Kuching turut menawarkan diskaun sehingga 15 peratus kepada jururawat yang menempah pakej penginapan dengan menggunakan Kad Pekerja Madani, manakala lima hotel di Sibu menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus.

Beliau berkata tempoh tempahan adalah dari 1 hingga 30 Sept ini, manakala tempoh perjalanan bermula 1 Sept hingga 31 Dis 2025.

Tiong berkata para jururawat boleh datang ke pusat khidmatnya untuk membuat tempahan dengan membawa dokumen pengenalan kakitangan mereka.

“Butiran lanjut akan diperincikan selepas pelancaran malam ini,” katanya dan menambah beliau akan mengadakan perbincangan di peringkat kementeriannya bagi meluaskan pakej itu kepada warga KKM lain seperti doktor dan ahli farmasi yang bertugas di Sibu dan Bintulu.

Tiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong berkata beliau merakamkan penghargaan kepada semua jururawat serta warga KKM di Sibu dan Bintulu atas dedikasi serta komitmen mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat.

Beliau berkata kesihatan awam mempunyai hubungan rapat dengan industri pelancongan, dengan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Sarawak turut bergantung kepada keutuhan sistem kesihatan tempatan.

“Kerja keras anda dalam menjaga kesihatan masyarakat adalah asas kepada keyakinan pelancong untuk datang,” katanya.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng, Pegawai Kesihatan Bahagian Sibu Dr Teh Jo Hun, Pegawai Pergigian Bahagian Sibu Dr Wong Siong Ting, Ahli Farmasi Bahagian Sibu Alan Lau Puon Hiet, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang serta Pengarah Hospital Sibu Dr T. Nanthakumar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan