Ad Banner
 AM > BERITA

MCMC Turun 49,082 Hantaran Berkaitan Penipuan Setakat 1 Ogos - Teo

18/08/2025 02:12 PM

KUCHING, 18 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menurunkan 49,082 hantaran berkaitan penipuan setakat 1 Ogos ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak 63,652 hantaran diturunkan berbanding 6,297 pada 2023, menunjukkan peningkatan mendadak dalam penyebaran kandungan penipuan secara dalam talian.

“Penularan kandungan penipuan, termasuk akaun palsu dan penyamaran tokoh awam, dilihat meningkat dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Sarawak) di sini hari ini.

Teo berkata semua pihak tidak boleh ketinggalan dalam mengikuti arus teknologi yang berkembang pesat, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI). 

Meskipun AI mampu mempermudah pelbagai urusan dan tugasan harian, beliau berkata ia tidak dapat menggantikan nilai penting seperti usaha, dedikasi dan kecemerlangan yang menjadi teras kepada perkhidmatan awam.

“Yang penting, penggunaan teknologi mestilah dilakukan dengan bijak, berhemah dan terkawal supaya benar-benar memberi manfaat tanpa menjejaskan integriti dan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam,” katanya.

Pendekatan beretika dan seimbang dalam penerapan AI akan memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara optimum dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Justeru, bagi menangani penipuan atau penyebaran berita palsu, beliau berkata kementerian menyediakan pelbagai alat semakan fakta seperti Biar Betul di RTM, Chatbot kecerdasan buatan (AI) AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistan) dan portal Sebenarnya.my.

“AIFA menerima sebanyak 142,257 mesej setakat 31 Julai 2025, sejak dilancarkan pada 28 Jan 2025. Ini bersamaan dengan purata hampir 769 mesej sehari.

Inisiatif itu sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, mendidik pengguna dalam mengenal pasti sumber maklumat yang boleh dipercayai, serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian.

Sementara itu, kerajaan terus menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan usaha reformasi pentadbiran, khususnya dalam sektor perkhidmatan awam. 

“Sebagai contoh, dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) pada 17 Jun 2025, Malaysia melonjak 11 anak tangga pada kedudukan ke-23 berbanding  ke-34 pada 2024,” katanya.

Peningkatan ini, manifestasi nyata kepada kesungguhan kerajaan dalam memacu pembaharuan struktur dan penambahbaikan secara menyeluruh di seluruh negara.

Usaha berterusan berkenaan bukan sahaja meningkatkan kecekapan pentadbiran, malah turut memperkukuh kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan dan tadbir urus Malaysia.

Terdahulu, Teo menyampaikan anugerah APC kepada 80 penerima daripada pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi. 

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada waris petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Sarawak yang meninggal dunia baru-baru ini.

 Allahyarham Irwan Budi Annuar, 51, yang berkhidmat di RTM sebagai penyampai radio, pemberita dan penerbit rancangan meninggal dunia pada 6 Ogos lepas akibat barah paru-paru dan penyakit buah pinggang, manakala mendiang Geogina Clare, 45, meninggal dunia pada 12 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan