KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Langkah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mengagihkan komputer riba refurbished atau dibaharui kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengambil kira dana disediakan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata penyediaan komputer baharu akan menelan kos yang jauh lebih besar dan menjejaskan pelaksanaan program lain, namun laporan pemantauan MITRA menunjukkan pelaksanaan inisiatif itu memberikan manfaat positif kepada murid, guru serta pentadbir sekolah.
“Kenapa beri komputer riba second hand (refurbished)? Ini MITRA, kita bukan Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi atau Kementerian Digital. Kita kena buat yang berpatutan.
“Kalau kita berikan komputer riba baharu, kita akan menggunakan dana yang sangat besar dan kalau kita gunakan dana yang sangat besar, bagaimana untuk mengendalikan program-program lain,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas dakwaan laporan sesetengah pihak, kononnya komputer riba yang disediakan di bawah program bantuan komputer riba MITRA adalah refurbished dan tidak memanfaatkan murid di SJKT.
Ramanan yang juga bekas Pengerusi MITRA berkata semua komputer riba yang disediakan dibekalkan oleh syarikat Google melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan setakat ini 6,000 unit telah diagihkan kepada 520 SJKT.
“Semuanya diberikan waranti dan setakat ini, tinjauan terhadap impak mendapati program itu telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru. Pihak pembekal telah menyelesaikan semua aduan yang dikemukakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.
Program bantuan komputer riba MITRA dilancarkan pada 2023 dengan objektif membantu murid-murid SJKT lebih bersedia menghadapi keperluan pembelajaran abad ke-21 serta mengurangkan jurang digital di sekolah luar bandar dan bandar.
Berhubung tindakan sesetengah pihak mempersoalkan Program Latihan Penerbangan MITRA bersama Westar Aviation, Ramanan berkata setakat ini sebanyak 75 daripada 100 peserta sedang menjalani latihan sambil bekerja termasuk penyelenggaraan pesawat, manakala baki 25 peserta akan memulakan latihan September ini.
“Kalau nak senarai nama, saya akan bekalkan senarai sebab apabila semua program diumumkan di Parlimen tempoh hari, mungkin ada yang tidak puas hati. Tak apalah, saya ambil tanggungjawab supaya we can put this to rest,” katanya.
Dalam sidang media berasingan, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P. Prabakaran berkata beliau dan seluruh jawatankuasa itu menyambut baik pengumuman dibuat Perdana Menteri untuk komuniti India hari ini.
Bagaimanapun, beliau juga berharap supaya pihak-pihak tidak bertanggungjawab menghentikan daripada mengeluarkan fakta tidak benar serta provokasi terhadap masyarakat India.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial