KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Komitmen bersepadu diperlukan bagi mengekalkan peranan Malaysia sebagai peneraju utama industri halal kerana negara mempunyai kedudukan istimewa dalam sektor berkenaan," kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara berkata pendekatan bersepadu akan melonjakkan potensi ekonomi halal negara, memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran antarabangsa serta memberikan manfaat yang lebih luas kepada rakyat.
Beliau berkata perkara itu antara yang ditekankan semasa Sesi Pembentangan Agenda Penyelarasan Halal Malaysia yang memberikan tumpuan pada hala tuju ekosistem halal negara.
“Sesi ini bertujuan memastikan dasar, strategi pembangunan dan pelaksanaan industri halal Malaysia kekal relevan serta berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik di Facebook hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Penyelaras Hal Ehwal Halal Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff dan wakil agensi-agensi berkaitan ekosistem halal negara.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut menggariskan kepentingan penyelarasan rentas agensi agar usaha yang dilaksanakan dapat bergerak seiring dan saling melengkapi.
“Insya-Allah, dengan kesungguhan serta kerjasama semua pihak, ekosistem halal Malaysia akan terus berkembang sebagai kebanggaan negara dan rujukan dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial