KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Bamboo Inovasia, jenama di bawah SMR Creations Sdn. Bhd. (SMR Creations), melancarkan Kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Buluh, yang diperbuat daripada buluh semula jadi bersempena dengan penyertaan syarikat itu dalam Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF) 2025.
Dalam kenyataan, SMR Creations memaklumkan kad pintar mesra alam yang disasarkan kepada golongan profesional, usahawan, syarikat korporat, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan itu dilengkapi dengan teknologi NFC bagi menggantikan penggunaan kad perniagaan tradisional.
“Kad NFC Buluh membolehkan perkongsian maklumat profesional hanya dengan satu sentuhan pada telefon pintar, tanpa perlu mencetak atau mengedarkan kad kertas sekali guna.
“Kad ini boleh dikemas kini secara digital tanpa cetakan semula, menjimatkan kos jangka panjang, tahan lama dan memberikan imej profesional moden,” menurut kenyataan itu.
Kad berkenaan dilancarkan pada Forum ASUF yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada 12 hingga 14 Ogos lepas.
Menurut SMR Creations, setiap pembelian kad berkenaan menyumbang kepada program penanaman buluh sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Projek SMR Creations Khairul Azizi Amat Tokimin berkata kad itu ialah penyelesaian masa depan bagi rangkaian profesional.
“Dengan teknologi NFC, kami memodenkan cara berkongsi maklumat sambil membantu mengurangkan kesan alam sekitar akibat penggunaan kad kertas sekali guna,” katanya dalam kenyataan sama.
Sepanjang tiga hari penyertaan di ASUF 2025, Kad NFC Buluh keluaran Bamboo Inovasia telah menarik minat lebih 1,000 pengunjung, sekali gus membuktikan potensi besar produk berkenaan di pasaran serantau.
Untuk maklumat lanjut, sila layari page.bambooinnovasia.com.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial