Ad Banner
 AM > BERITA

Kemudahan Pengunjung Dipertingkat Pada Sambutan Hari Kebangsaan

19/08/2025 06:01 PM

PUTRAJAYA, 19 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 8,000 tempat duduk bertingkat disediakan untuk pengunjung sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di sini, iaitu pertambahan 4,000 tempat duduk berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Julina Johan berkata langkah itu bertujuan meningkatkan keselesaan pengunjung dengan mengambil kira maklum balas orang ramai berhubung kekurangan tempat duduk pada tahun lepas.

“Tahun ini sebab kita mengambil kira respons yang kita terima daripada orang ramai tahun lepas berhubung kekurangan tempat duduk, jadi mereka tidak dapat menikmati perarakan kontinjen.

“Kita telah berbincang, kita naikkan kepada 8,000 tempat duduk. Memang tidak dapat tampung kesemua pengunjung tetapi insya-Allah kita cuba beri keselesaan kepada pengunjung yang datang,” katanya  ketika sesi taklimat media berhubung sambutan Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Turut disediakan 12 skrin LED yang membolehkan pengunjung menyaksikan secara langsung sambutan Hari Kebangsaan.

Dari segi kemudahan parkir, Julina berkata sebanyak 15,000 lot parkir tersedia di enam lokasi berbeza yang dihubungkan dengan kemudahan pengangkutan awam seperti 100 bas, enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya.

Ia termasuk di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 1 (Taman Botani, parkir terbuka Kompleks E), Presint 8 (Kelab Tasik), Ayer 8@ Presint 8, Presint 9 (Putrajaya Sentral, PJH Destina) dan Presint 18 (Taman Pancarona).

Julina berkata perkhidmatan teksi air akan beroperasi pada 30 Ogos (bermula 8 malam hingga 1 pagi) manakala pada 31 Ogos, ia dimulakan seawal 5 pagi hingga 2 petang.

Perkhidmatan bas turut disediakan secara percuma pada 31 Ogos dengan tiga lokasi pengambilan penumpang iaitu Putrajaya Sentral, PICC dan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1.

“Pengunjung yang datang boleh buat pilihan dekat mana nak parkir, terdapat kemudahan sama ada dari segi pengangkutan awam bas ataupun kemudahan perkhidmatan teksi air,” katanya.

Selain itu, beliau berkata sebanyak lima surau dan 18 khemah perubatan turut disediakan di sekitar kawasan sambutan, dengan 60 trak makanan dan 200 tandas bergerak bagi kemudahan pengunjung.

Mengenai maklumat penutupan jalan, Julina berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengeluarkan kenyataan terperinci mengenainya dan menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan masing-masing bagi mengelakkan sebarang permasalahan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Hari Kebangsaan 2025 melalui platform media sosial rasmi sambutan Merdeka360.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan