KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Majlis Malam Anugerah Malaysia Peduli 2025, bertujuan mengiktiraf tokoh-tokoh yang memainkan peranan dalam memartabatkan erti perpaduan sebenar mengikut konteks Malaysia MADANI, bakal diadakan buat julung kalinya pada 17 Okt ini.
Majlis anjuran Pertubuhan Kepedulian dan Keprihatinan Insan Malaysia (Malaysia Peduli) bertemakan "Perpaduan, Pemangkin Kesejahteraan Negara" itu dijadual diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin berkata tema itu bertepatan aspirasi negara dan menegaskan perpaduan merupakan aset penting yang dapat memastikan kemakmuran negara sekali gus dinikmati semua rakyat.
“Kita lihat sekarang ini bagaimana rapuh masyarakat kita dan sensitiviti itu sebenarnya kita kena jaga kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, sudah semestinya sensitiviti agama dan kaum ini amat penting untuk kita jaga.
“Kalau kita dapat jaga perpaduan, kestabilan negara juga dapat kita jaga…kerajaan boleh tumpukan pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada prapelancaran program itu, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Malaysia Peduli Noor Sham @ Ann Abu Samah dan wakil penaja.
Azman berkata program seperti itu menjadi platform penting untuk menyatukan pelbagai lapisan masyarakat, menzahirkan kepedulian pada golongan yang memerlukan serta memberi rakyat inspirasi bahawa kejayaan negara harus dirasai bersama.
“…saya berharap anugerah ini akan terus menjadi teladan kepada generasi muda dan semoga anugerah ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha masyarakat sivil dalam memperkukuh perpaduan serta pembangunan ekonomi negara,“ katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Malaysia Peduli Datuk Azman Yaakob yang juga pengelola majlis itu berkata pihaknya sebagai badan bukan kerajaan akan memainkan peranan sebaik mungkin dalam mengangkat isu utama dihadapi negara ketika ini khususnya soal perpaduan.
“Kita sayang negara kita yang berbilang kaum, aspek masyarakat majmuk merupakan antara daya tarik pelancong ke Malaysia…tetapi apabila ada elemen perpecahan...yang kita bimbang adalah generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial