Ad Banner
 AM > BERITA

PTPTN Dekati Masyarakat Melalui Jelajah Aspirasi Malaysia 2025, Beri Kesedaran Menabung

19/08/2025 06:38 PM

GEORGE TOWN, 19 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyahut semangat kemerdekaan dengan menyertai Program Jelajah Aspirasi 2025, bagi mendekati masyarakat dalam usaha memupuk perancangan kewangan dan amalan menabung dari awal usia demi masa depan pendidikan yang lebih terjamin.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata program itu merupakan platform strategik bagi PTPTN mendekati masyarakat, untuk menerangkan produk ditawarkan serta memberi kesedaran mengenai kepentingan menabung.

Beliau berkata konsep menabung itu selari dengan semangat kemerdekaan sebenar, kerana ia mampu membebaskan masyarakat daripada belenggu hutang.

“PTPTN mahu mengubah budaya masyarakat daripada meminjam kepada menabung, agar mereka benar-benar merdeka daripada belenggu hutang pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang (RTM) Nor Hisham Abbas, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Mohamad Zawawi Ahmad, Pengurus Besar Kanan PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Program anjuran RTM dan PTPTN sebagai rakan strategik itu bertujuan memberi informasi kepada orang ramai untuk menghayati erti kemerdekaan, dengan Pulau Pinang merupakan lokasi ketiga jelajah tersebut.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial, PTPTN turut menyerahkan sumbangan RM100 kepada 100 murid SK Sungai Gelugor, dengan jumlah keseluruhan RM10,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime.

Hadiah turut diberikan kepada pemenang pertandingan yang diadakan sempena program itu, bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan simpanan pendidikan bermula dari awal usia dan menyokong aspirasi pendidikan tinggi.

Norliza berkata Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat, termasuk pelepasan cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk keluarga layak, kadar dividen yang kompetitif dan patuh syariah.

Sementara itu beliau berkata tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” turut mencerminkan peranan PTPTN dalam memastikan masyarakat, khususnya pelajar, sentiasa dibantu melalui peluang pendidikan tinggi yang sama rata tanpa mengira latar belakang. 

Beliau berkata tema itu, menekankan prinsip kerajaan yang mengutamakan kebajikan masyarakat, memastikan setiap individu diberi perhatian dan dihargai dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.

“PTPTN berbangga dapat menjadi pemangkin kejayaan dengan menyediakan kemudahan pinjaman, skim simpanan pendidikan serta inovasi digital, yang memudahkan urusan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif,” katanya.

Dalam usaha memudahkan tanggungjawab membayar balik pinjaman, beliau berkata PTPTN menawarkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman menerusi kempen Lestari Pendidikan, iaitu memberi ruang kepada peminjam untuk berunding dengan menyediakan pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan mereka.

Norliza berkata PTPTN sentiasa membuka peluang kepada semua peminjam yang mempunyai masalah untuk datang berunding dengan PTPTN melalui #PTPTNBolehBincang.

Selain itu, beliau berkata PTPTN dengan kerjasama RTM  turut menghasilkan lagu berjudul “Demi Generasi Ku” bagi memperkukuh kesedaran bayaran balik pinjaman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan