Ad Banner
 AM > BERITA

Peruntukan RM100,000: Penganjur Pastikan Penganjuran RXZ Members Lebih Baik

19/08/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan acara itu berjalan lebih teratur, selamat dan berimpak tinggi.

Pengarah program Mohd Lukhman Nooralazhar berkata pihak penganjur amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman peruntukan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan program tersebut dapat memberikan manfaat besar kepada masyarakat serta mengharumkan nama negara.

“Ia juga menjadi suntikan semangat kepada pihak penganjur, peserta dan peminat motosikal untuk menjayakan acara ini yang dijangka menarik puluhan ribu pengunjung dari seluruh negara.

“Kami yakin sokongan kerajaan ini bukan sahaja mengangkat imej RXZ Members 7.0 sebagai acara ikonik nasional malah turut memberikan impak ekonomi kepada penduduk setempat melalui sektor pelancongan, perhotelan, makanan dan peruncitan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan itu bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung pada 23 Ogos ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu.

Perdana Menteri berkata sokongan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan, pengukuh silaturahim dan penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat menerusi pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Antara aktiviti yang bakal berlangsung dalam program dua hari itu termasuk Bual Bicara RXZ Members Bersama Ustaz Azhar Idrus, gerai barangan dan makanan serta cabutan bertuah motosikal dan umrah.

Turut dijadualkan pertandingan Motorshow dan Dyno Battle selain Konvoi Selebriti Malaysia dan Influencer antaranya Rosyam Nor, Pablo Amirul serta pelumba motosikal profesional Wazi Abdul Hamid.

Selain itu, pelbagai persembahan daripada artis tempatan antaranya Zamani Slam akan turut diadakan manakala majlis penutup bakal dimeriahkan dengan acara mengibarkan Jalur Gemilang serta penyampaian hadiah pertandingan dan hadiah utama RXZ Members 7.0 2025.

Sementara itu, Wazi yang merupakan bekas jaguh lumba motor negara berkata peruntukan itu memberikan kelebihan kepada peminat dunia permotoran dan merancakkan industri pelancongan domestik di Terengganu.

“Mungkin kerajaan melihat dari sudut pandangan berbeza untuk memastikan kelangsungan program ini berjalan lancar cuma penganjuran ini perlu diperkemas dengan lebih baik bagi mengelakkan beberapa insiden yang berlaku pada penganjuran sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menyeru peminat aktiviti permotoran untuk mengambil peluang daripada sokongan diberikan oleh pihak kerajaan itu dengan menjadikan perhimpunan tersebut satu program yang bermanfaat dan membentuk diri mereka menjadi penunggang motosikal berhemah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan