Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM, MAICSA Meterai MoU Perkukuhkan Tatakelola Korporat

19/08/2025 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama)– Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) akan berganding bahu meningkatkan pengetahuan, mengukuhkan tatakelola dan menggalakkan integriti dalam kalangan profesional serta pegawai penguat kuasa di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, SPRM telah bekerjasama dengan MAICSA yang kini dikenali sebagai The Chartered Governance Institute (CGI) sejak 2021 dalam mengendalikan sesi latihan khusus untuk pegawai SPRM.

"Latihan ini akan merangkumi pelbagai bidang seperti tatakelola korporat, undang-undang syarikat dan tugas setiausaha syarikat. 

“Justeru, antara tugas setiausaha syarikat ialah memastikan lembaga pengarah dan pihak pengurusan mematuhi undang-undang, menegakkan standard etika, serta bertindak demi kepentingan terbaik syarikat dan pemegang taruh,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan MAICSA di Bangunan MAICSA, di sini, hari ini.

Dalam majlis MoU itu, SPRM telah diwakili oleh Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Dato' Mohd Hafaz Nazar manakala MAICSA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Justin J Anthony dengan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Presiden MAICSA, Dato' Akbar Moidunny. 

Tan Sri Azam berkata, pegawai SPRM juga boleh berkongsi kepakaran dengan ahli MAICSA, khususnya mengenai perkara yang berkaitan dengan integriti dan kesalahan jenayah termasuk peruntukan di bawah Seksyen 17A mengenai Liabiliti Korporat.

Sementara itu, Presiden MAICSA, Dato' Akbar Moidunny berkata, MAICSA berbesar hati untuk melanjutkan keistimewaan terhadap warga SPRM yang layak serta mendaftar sebagai ahli gabungan dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini di mana mereka akan menikmati keahlian tahun pertama secara percuma (langganan tahunan RM225).

“Antara keistimewaan sebagai ahli ialah seperti menyediakan akses kepada program secara bersama serta acara eksklusif, pembelajaran lintas sektor dan rangkaian profesional yang akan mengukuhkan kedua-dua keupayaan serta kredibiliti kedua-dua pihak,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional; Dato Idris Zaharudin, Pengarah Bahagian Analisa Kewangan SPRM, KPKPj Mohd Azwan Ramli dan Timbalan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, KPKPj Ahmad Shukri Mohamad Taib.

--BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan