Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

19/08/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika membentangkan RUU berkenaan berkata bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat dalam persidangan kali ini. 

Menurut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen, RUU berkenaan bertujuan meminda Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78), yang antaranya meminda Seksyen 2 Akta 78 untuk memasukkan takrif baharu biometric data di bawah Fasal 2 serta Subseksyen 6(2) akta sama untuk menambah baik kuasa Menteri bagi membuat peraturan-peraturan di bawah Fasal 3.

“Subfasal 3(a) bertujuan untuk menggantikan perenggan 6(2)(d) Akta 78 untuk memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan-peraturan bagi mengadakan peruntukan bagi pengambilan dan perekodan data biometrik dan syarat yang boleh dikenakan bagi pengambilan dan perekodan data biometrik,” menurut naskhah itu. 

Selain itu, Subfasal 3(b) bertujuan meminda perenggan 6(2)(e) Akta 78 untuk memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan bagi mengadakan peruntukan bagi kawalan terhadap penggunaan dan maklumat dalam kad pengenalan.

Subfasal 3(c) pula bertujuan memotong perenggan 6(2)(j) Akta 78 yang memberi Menteri kuasa untuk menetapkan caj maksimum bagi pengambilan gambar memandangkan caj tidak dikenakan bagi pengambilan gambar.

Pindaan itu turut memasukkan seksyen baharu 6A ke dalam Akta 78 untuk memberi Menteri kuasa, dengan kelulusan pendakwa raya untuk membuat peraturan-peraturan bagi menetapkan kesalahan yang boleh dikompaun serta kaedah dan tatacara bagi mengkompaun kesalahan itu. 

“Fasal ini juga bertujuan untuk memberi Ketua Pengarah kuasa untuk mengkompaun kesalahan yang boleh dikompaun dengan keizinan secara bertulis pendakwa raya,” menurut naskhah itu. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan