PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Cadangan untuk menubuhkan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet nanti.
“Kita akan bincang di Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) Datuk Johan Mahmood Merican.
Azalina sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.
Beliau berkata pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.
“Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan,” kata Azalina pada satu majlis semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial