Ad Banner
 AM > BERITA

250 Motosikal Berkuasa Tinggi Sertai Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 Di N.Sembilan

20/08/2025 05:30 PM

SEREMBAN, 20 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 250 motosikal berkuasa tinggi akan menyertai Kembara Merdeka Akar Umbi 2.0 peringkat Negeri Sembilan yang turut melibatkan kepimpinan negeri dan ketua-ketua jabatan pada 30 Ogos ini.

Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kembara bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan itu akan melalui tujuh daerah bermula di Jempol dan berakhir di Dataran Budaya Seri Menanti, Kuala Pilah, dengan acara kemuncak malam ambang merdeka yang turut dimeriahkan pertunjukkan bunga api.

Beliau berkata kembara itu disertai 50 kereta pengiring melibatkan perjalanan lebih 300 kilometer dan di setiap hentian akan diadakan pelbagai aktiviti kemerdekaan termasuk sumbangan kepada asnaf. 

"Kita akan berkumpul seawal 8 pagi di Jempol sebelum bergerak menuju ke Jelebu, kemudian turun ke Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin dan tamat di Seri Menanti, Kuala Pilah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Jelebu itu berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga dijangka menyertai kembara tersebut di Port Dickson.

Beliau berkata pasukan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu mengawal kesesakan trafik di beberapa kawasan tumpuan sepanjang perjalanan program kembara merdeka ini.

"Kita menjangkakan lebih 8,000 pengunjung membanjiri Seri Menanti bagi sama-sama memeriahkan sambutan ambang kemerdekaan selain merapatkan ukhuwah," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan