KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad mengagihkan lebihan berjumlah RM219,148 daripada Dana Peruntukan Tuntutan (CAF) di bawah produk Allianz4All Untuk Semua bagi tujuan kebajikan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.
Allianz Malaysia Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan lebihan berkenaan yang disumbangkan daripada PerlindunganKu Allianz4All dan Kemalangan Diri Berkelompok Allianz4All telah disalurkan kepada pelbagai pertubuhan sosial dalam bidang pendidikan, orang kurang upaya (OKU) dan usaha penyampaian bantuan.
“Kategori sumbangan kebajikan ditentukan berdasarkan pilihan individu pemegang polisi yang diberikan semasa pembelian produk Allianz4All Untuk Semua.
“Memandangkan majoriti pemegang polisi tidak menyatakan pilihan tertentu, lebihan CAF telah diperuntukkan kepada kategori kebajikan berikut dan diagihkan kepada organisasi sosial yang disenaraikan di bawah,” menurut kenyataan itu.
Dalam bidang pendidikan, Pertubuhan Pendidikan Anak Cahaya Sabah menerima RM20,000 bagi menyokong pembangunan komuniti golongan terpinggir di Sandakan manakala Buku Jalanan Chow Kit dan Yayasan Chow Kit masing-masing menerima RM30,000 dan RM23,000 untuk meneruskan usaha mereka dalam menyediakan pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan kepada kanak-kanak serta remaja berisiko.
Bagi usaha berkaitan OKU, Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah dan Rumah Amal Cheshire Selangor masing-masing menerima RM22,000 untuk menyokong usaha mereka dalam mewujudkan peluang untuk komuniti OKU menjalani kehidupan berdikari.
Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur pula diperuntukkan RM33,000 untuk menyokong penyediaan perkhidmatan dari rumah ke rumah kepada individu berkerusi roda manakala Persatuan Insan Istimewa Cheras Selangor, sebuah organisasi sosial yang menyediakan makanan, tempat tinggal, rawatan perubatan dan pendidikan kepada individu kurang berkemampuan dan OKU menerima RM19,148.
Sementara itu, Persatuan Bantuan Bencana Alam MISAR Malaysia diperuntukkan RM50,000 bagi menyokong inisiatif bantuan bencana dan keselamatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad Sean Wang berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong kesejahteraan komuniti, sambil melibatkan pemegang polisi secara langsung dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Di Allianz Malaysia, kami percaya kepada prinsip menyumbang kembali kepada komuniti dan mencipta impak bermakna melalui produk kami. Kami berbangga dapat menyokong organisasi yang baik ini dan sumbangan besar mereka kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Agihan dana lebihan ini telah diselaraskan oleh Allianz4Good, cabang tanggungjawab korporat Allianz Malaysia yang mengenal pasti dan menyokong pertubuhan kebajikan berimpak tinggi.
Maklumat lanjut mengenai Allianz4All Untuk Semua boleh didapati di Allianz.com.my/allianz4all.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial