Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Keterujaan menjelang acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2025 semakin memuncak di Putrajaya apabila hotel-hotel di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan habis ditempah tetamu korporat dan tempatan yang akan menghadiri sambutan berkenaan di Dataran Putrajaya.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Dorsett Putrajaya Sarina Shariff berkata hotel berkenaan habis ditempah untuk 30 dan 31 Ogos, bertepatan dengan sambutan kemerdekaan.
Beliau berkata permintaan tinggi itu disebabkan lokasi hotel berkenaan yang strategik di samping program yang penuh meriah dirancang untuk cuti hujung minggu panjang berkenaan.
“Hotel kami ditempah sepenuhnya pada tarikh berkenaan, kebanyakannya oleh tetamu korporat dan tempatan yang terlibat dengan kontinjen perbarisan, warga Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan agensi lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi menguruskan peningkatan jumlah tetamu, Dorsett Putrajaya telah mengaktifkan pelan operasi menyeluruh termasuk persiapan awal, penyesuaian kepada jadual staf, prosedur daftar masuk yang dipermudah dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan di semua outlet makanan dan minuman.
Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Dorsett Putrajaya Rosmarlianamanja Rosli pula berkata syif tambahan juga telah diperkenalkan bagi memastikan operasi berjalan lancar.
“Kami telah menyemak semula jadual kerja kakitangan khidmat pengemasan bilik dan meningkatkan langkah pengurusan orang ramai bagi memastikan keselesaan dan keselamatan tetamu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Hotel Moxy Putrajaya Marshall Chai berkata hotel itu turut mencatatkan peningkatan yang sama dan bakal habis ditempah, dirangsang dengan hujung minggu yang panjang.
Semakan di platform tempahan utama juga menunjukkan hotel terkemuka di Putrajaya seperti DoubleTree by Hilton Putrajaya dan Hotel Zenith juga habis ditempah. Hotel lain juga hanya mempunyai beberapa bilik yang masih belum ditempah.
Acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan tahun ini dijangka menjadi yang terbesar, dengan 81 kontinjen berbanding 57 tahun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Julina Johan berkata sebanyak 14,010 orang akan menyertai acara perbarisan 31 Ogos ini selain 116 aset haiwan akan ditampilkan di samping penyertaan 21 kumpulan pancaragam yang akan mempersembahkan pelbagai irama termasuk berunsur patriotisme.
Beliau berkata 8,000 tempat duduk bertingkat akan disediakan untuk penonton, pertambahan 4,000 tempat duduk berbanding tahun lepas.
Sambutan Bulan Kebangsaan akan dimeriahkan dengan program Riuh Merdeka 2025 yang diadakan selama 30 jam tanpa henti, iaitu bermula 12 tengah hari pada 30 Ogos hingga 6 petang, 31 Ogos di Tapak Parkir Monumen Alaf Baharu di Presint 2 di sini. Acara ini menonjolkan aktiviti berunsur perpaduan, kebudayaan dan kreativiti.
Bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni", sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 Sept.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial