Ad Banner
 AM > BERITA

PMKS Boleh Manfaat Subsidi LPG - Fuziah

21/08/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk gas petroleum cecair (LPG), sekali gus membolehkan semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menikmati manfaat subsidi tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata sehubungan itu, penggunaan subsidi LPG oleh PMKS, terutama dalam sektor makanan sewajarnya tidak melibatkan kenaikan harga produk jualan mereka.

“Buat masa ini, kerajaan akan memastikan subsidi keperluan penggunaan LPG dinikmati oleh isi rumah dan peniaga mikro serta sederhana, terutamanya sektor makanan dan minuman,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui langkah kerajaan membanteras ketirisan subsidi LPG selain usaha mengurangkan beban kos PMKS seperti warung dan gerai makan, dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi LPG kepada sektor komersial.

Sementara itu, Fuziah berkata sebanyak 489 kes melibatkan aktiviti penyelewengan subsidi LPG dikesan, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM3.1 juta sejak 2024 hingga 18 Ogos lepas.

Bagi membanteras kegiatan penyelewengan itu, katanya, kementerian itu telah melancarkan "Operasi Gas Memasak" atau Op Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt ini, dengan sasaran menangani penyalahgunaan subsidi LPG oleh sektor tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar.

Ad Banner

“Antara bentuk penyelewengan yang disasarkan ialah menangani kegiatan ‘decanting’, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri ataupun tong komersial.

“KPDN turut akan memanfaatkan penggunaan teknologi digital bagi memperkasa pemantauan serta penguatkuasaan berkaitan pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi di pasaran,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan