Ad Banner
 AM > BERITA

JBPM Kedah Serah 10 Bot Kepada Bomba Komuniti Sebagai Persiapan Musim Tengkujuh

21/08/2025 02:36 PM

ALOR SETAR, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menyerahkan 10 unit bot aluminium kepada Bomba Komuniti di negeri ini sebagai persiapan awal menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula Oktober depan.

Pengarah JBPM Kedah Awang Hidzel Awang Bujang berkata kesemua bot yang diserahkan kepada 10 Bomba Komuniti terpilih itu dilengkapi dengan enjin dan peralatan lain, antaranya jaket keselamatan.

“Tujuan kita edarkan bot ini adalah sebagai langkah awal untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku pada Oktober ke atas...pegawai dan anggota JBPM Kedah akan memberikan latihan kepada Bomba Komuniti cara mengendalikan bot berkenaan.

“Latihan ini membolehkan mereka bersedia sekiranya berlaku kecemasan ketika banjir. Ini bukan bermaksud kita lepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada Bomba Komuniti tetapi mereka tolong memudahkan dan mempercepatkan proses penyelamatan penduduk yang terjejas banjir sebelum bantuan tiba,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Bot Bomba Komuniti Serta Kursus Asas Pengendalian dan Pengujian Bot JBPM Kedah di Sungai Kedah di sini.

Awang Hidzel berharap semua Bomba Komuniti yang menerima bot berkenaan dapat menjaga aset itu dengan baik bagi membolehkan ia digunakan semasa sesi penyelamatan.

Ad Banner

“Terdapat 114 ‘hotspot’ bencana banjir yang melibatkan 11 daerah, dengan Baling mencatatkan jumlah kawasan banjir tertinggi diikuti Langkawi, Kuala Muda, Bandar Baharu, Kulim, Sik, Pendang dan Kota Setar.

“Memang kita sentiasa bersedia tetapi buat masa ini negara dijangka menerima jumlah hujan yang rendah dan akan mengalami lebih banyak hari tanpa hujan berbanding hari hujan di kebanyakan negeri,” katanya.

Beliau berkata sekiranya berlaku banjir dan arahan pindah dikeluarkan, masyarakat perlu memberi kerjasama bagi memudahkan kerja penyelamatan dilaksanakan sekali gus memastikan keselamatan semua pihak dalam keadaan baik.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan