Ad Banner
 AM > BERITA

Bernama Bimbing Murid Melalui Program Santuni MADANI - Ketua Pegawai Eksekutif

21/08/2025 03:17 PM

SEPANG, 21 Ogos (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meneruskan pengisian Program Santuni MADANI: Satu Pemimpin Satu Kampung dengan penganjuran sesi bimbingan bersama warga Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Laut, Tanjung Sepat, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Kampung Batu Laut merupakan kampung angkat Bernama di bawah inisiatif berkenaan, dengan pelbagai program telah dilaksanakan sejak tahun lepas melibatkan komuniti setempat.

“Sejak tahun lepas, kami telah mengadakan pelbagai program di Kampung Batu Laut, khususnya yang melibatkan pihak sekolah, surau, dan masjid. Kali ini, fokus kami ialah pendidikan, serta memperkenalkan Bernama di peringkat rakyat, di peringkat akar umbi,” katanya kepada Bernama pada program itu, di sini.

Program yang dikendalikan pasukan AKRAB Bernama menampilkan pelbagai pengisian termasuk pameran dan ujian psikologi, taklimat tentang AKRAB, terapi oksigen, skala kesihatan mental, serta penggunaan alat sokongan emosi seperti ‘feelings wheel’.

Nur-ul Afida berkata program yang berlangsung dua hari sejak semalam menampilkan pelbagai pengisian termasuk biblioterapi, sesi bimbingan psikologi dan aktiviti interaktif oleh pasukan Ahli Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Bernama.

“Daripada maklum balas, kira-kira 70 pelajar ini begitu bersemangat kerana ia sesuatu yang baharu dan mereka memberi sokongan serta kerjasama kepada pasukan AKRAB Bernama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ini,” katanya.

Ad Banner

 Turut hadir Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan dan Kewangan Sharifah Zaini Syed Zain yang juga Timbalan Ketua Program II Santuni MADANI Bernama, Ketua Komersial Mastura Hassan dan Ketua Hal Ehwal Korporat Mariati Mohd Arif.

Mengulas mengenai sesi bimbingan psikologi dalam program itu, Nur-ul Afida berkata pendedahan awal mengenai pengurusan emosi dan perancangan masa depan penting bagi membimbing pelajar sekolah rendah.

“Pada usia 12 tahun, mereka sepatutnya sudah boleh memikirkan tentang masa depan. Jadi, apabila kita turun dengan pasukan yang terdiri daripada kalangan wartawan, editor, wartawan penyiaran, akauntan, perhubungan awam dan pustakawan, secara tidak langsung kami cuba mendedahkan kepada mereka bahawa ada pelbagai prospek kerjaya,” katanya.

Beliau berkata selain pendedahan kerjaya, pelajar juga diingatkan mengenai kepentingan beradab di media sosial dan menjauhi gejala negatif seperti buli.

“Saya berharap perkongsian dua hari Bernama dan pasukan AKRAB Bernama di SK Batu Laut ini dapat memberi manfaat, sekurang-kurangnya untuk anak-anak ini yang diharapkan dapat mengingati dan menerapkan ilmu demi masa depan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Program yang juga Setiausaha AKRAB Bernama Hasnita Ibrahim berharap pengisian ini diharap dapat memberi suntikan tambahan kepada usaha guru mendidik murid.

“Kami mengusik emosi mereka supaya mereka mengenali diri sendiri, tahu apa yang mereka buat dan tidak hanya menjadi seperti robot atau terlalu bergantung pada gajet,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan