Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Perkasa Peranan Pegawai Khidmat Pelanggan

21/08/2025 03:30 PM

 

PORT DICKSON, 21 Ogos (Bernama) -- Peranan dan tanggungjawab pegawai khidmat pelanggan bukan sekadar bertugas di kaunter atau mengendalikan panggilan telefon tetapi berperanan penting sebagai petugas barisan hadapan ketika berurusan dengan orang ramai.

 

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), P/PKPj Hisyam Mohd Yusoff berkata, pihaknya ingin melihat pegawai terbabit bukan sahaja berpengetahuan tetapi memiliki maklumat secukupnya mengenai apa yang berlaku di SPRM.

 

“Justeru, menerusi penganjuran bengkel ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan mengenai tugas termasuk apa yang boleh ditambahbaik bagi tujuan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.

 

“Selain itu, kursus ini juga boleh dijadikan platform untuk berkongsi masalah dihadapi termasuk peralatan yang digunakan ketika ini sama ada bersesuaian dengan kegunaan semasa,” katanya ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Perkhidmatan Pelanggan ‘Service With Heart And Smile’ anjuran BKS SPRM di Klana Beach Resort di sini, semalam.

 

Kursus tiga hari ini dihadiri seramai 21 pembantu tadbir dari Bahagian dan Negeri SPRM seluruh negara dengan penceramah pengalaman disampaikan oleh Ketua Seksyen Aduan dan Khidmat Pelanggan di Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Tuan Mohd Isa Jasin.

 

Beliau berkata, hasil rumusan dan maklumbalas daripada peserta kursus ini akan dikemukakan kepada pihak pengurusan tertinggi SPRM bagi tujuan memperbaiki kelemahan yang telah dikenalpasti.

 

Dalam pada itu, P/PKPj Hisyam turut mencadangkan agar aplikasi kumpulan WhatsApp yang telah diwujudkan terus dikekalkan sebagai satu saluran komunikasi penting bagi menyampaikan maklumat terkini atau mengemukakan sebarang masalah.

 

Selain itu, beliau juga mencadangkan kursus ini diadakan secara berkala bagi membolehkan pegawai terbabit sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan maklumat semasa.

 

“Apa yang diharapkan penambahbaikan kemudahan khususnya peralatan sistem telefonis yang sudah ketinggalan kepada pegawai khidmat pelanggan ini dapat dilaksanakan agar memberi keselesaan sekali gus membantu meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya. 

 

— BERNAMA

Ad Banner


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan