Ad Banner
 AM > BERITA

Ramanan Diberi Tanggungjawab Kawal Selia, Pantau Pelaksanaan Projek Kuil, Sekolah Tamil

21/08/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan diberi tanggungjawab mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek yang melibatkan kuil dan sekolah Tamil.

Difahamkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, baru-baru ini mengarahkan Ramanan bertanggungjawab menjaga hal ehwal komuniti India, termasuk merangka inisiatif baharu bagi masyarakat tersebut.

Ramanan, yang juga Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima surat berhubung perkara tersebut pada Isnin lalu. 

“Ya, saya telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan dan saya akan ulas lanjut selepas mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat", katanya.

Beliau berkata perancangan seterusnya akan melibatkan perbincangan bersama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan sebelum mengumumkan langkah-langkahnya menjelang hujung minggu ini atau minggu depan.

Sejak dilantik pada Disember 2023, Ramanan telah melaksanakan beberapa inisiatif melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk memperkasakan ekonomi komuniti usahawan India.

Ad Banner

Antaranya termasuk peruntukan RM100 juta melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big melalui TEKUN Nasional, jumlah terbesar yang pernah diperuntukkan khusus untuk komuniti India.

Selain itu, Ramanan berkata RM100 juta diperuntukkan untuk pemerkasaan usahawan wanita India melalui Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), RM100 juta melalui Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i), serta RM50 juta untuk Skim Pembiayaan Vanigham di bawah SME Bank bagi membantu perusahaan kecil.

Program lain termasuk geran padanan RM6 juta melalui Business Accelerator untuk Syarikat Milikan India (I-BAP) SME Corp, bantuan rumah ibadat, Program Vanakkam Madani, Empowering Indian Entrepreneurs (EIP), dan bantuan geran untuk Koperasi Komuniti India (Bakti Madani) di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan