KANGAR, 21 Ogos (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini bertitah setiap pegawai masjid dan jawatankuasa kariah perlu sentiasa menjaga adab dan akhlak dalam setiap urusan pentadbiran dan interaksi dengan masyarakat.
Baginda bertitah sikap amanah, ikhlas, sopan, menghormati sesama ahli kariah serta mengelakkan sebarang perselisihan yang boleh mencemarkan nama baik masjid atau surau, asas kepada keberkatan dan keberkesanan perkhidmatan masing-masing.
“Masjid ialah pusat ibadah, pendidikan, perpaduan dan kebajikan. Saya menyeru agar 101 buah masjid dan 209 surau di negeri ini, khususnya empat masjid utama iaitu Masjid Negeri Arau, Masjid Alwi Kangar, Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar dan Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, menjadi contoh terbaik.
“Dari segi pengurusan, pengimarahan dan pengukuhan akidah Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis...jadikan masjid sebagai pusat yang memancarkan cahaya ilmu, akhlak dan perpaduan kepada masyarakat,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian semasa berkenan merasmikan Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Negeri Perlis 2025, di Dewan Warisan di sini hari ini.
Baginda bertitah keberkesanan peranan masjid tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat Ahli Jawatankuasa (AJK) Kariah bersama agensi agama negeri seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Mufti Negeri Perlis (JMNPs).
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pihak pengurusan masjid hendaklah berusaha mencari pendekatan dan inisiatif di luar amalan biasa, yang dapat memberikan nilai tambah kepada kariah walaupun matlamat utama adalah untuk terus mengimarahkan masjid.
“Dari segi ekonomi, usaha penjimatan penggunaan elektrik dan air wajar diberi perhatian di samping penubuhan bank makanan atau dapur komuniti untuk membantu golongan asnaf. Masjid juga boleh mengusahakan projek agrokomuniti seperti kebun kecil atau tanaman hidroponik yang mampu menjadi sumber makanan dan menambah dana pengurusan," titah baginda.
Raja Muda Perlis itu bertitah dari sudut kelestarian alam pula, projek tenaga hijau seperti pemasangan panel solar amat berpotensi mengurangkan kos operasi masjid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial