Ad Banner
 AM > BERITA

Pusat Komuniti Islam Berperanan Kukuh Perpaduan - Mohd Na’im

21/08/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pusat komuniti Islam perlu berperanan lebih daripada sekadar tempat ibadah, malah menjadi ruang inklusif yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pusat komuniti seumpama itu berpotensi untuk memupuk hubungan antara agama, mengukuhkan ikatan komuniti serta mewujudkan peluang untuk perkembangan diri.

“Bayangkan pusat komuniti Islam sebagai ruang yang memupuk hubungan antara agama, menggalakkan persefahaman bersama, menawarkan peluang untuk menimba ilmu, membina kemahiran serta mendapatkan sokongan.

“Ruang yang menyatukan hati, tempat di mana individu daripada pelbagai latar belakang merasa dialu-alukan, dan persahabatan yang berkekalan dapat terjalin,” katanya berucap pada majlis pelancaran Pusat Komuniti Islam Tun Razak Exchange (TICC) di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib.

Mohd Na’im berkata sejak dahulu lagi, masjid berfungsi sebagai pusat komuniti yang menjadi nadi kepada pentadbiran, pendidikan dan pembangunan sosial, justeru semangat sama perlu diterapkan dalam pusat komuniti Islam moden.

Ad Banner

Beliau berkata pusat komuniti yang menyediakan program pendidikan, latihan kemahiran serta aktiviti kebajikan mampu mempertingkat kesejahteraan masyarakat serta mencerminkan nilai kasih sayang dan khidmat kepada insan.

Mohd Na’im turut menggesa pihak berkaitan supaya mempercepat kelulusan TICC diiktiraf sebagai lokasi menunaikan solat Jumaat tetap.

Sejak tahun lepas, pusat komuniti terbabit yang mampu memuatkan lebih daripada 1,000 individu hanya berfungsi sebagai lokasi sementara untuk solat Jumaat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan