KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Cadangan menukar nama bunga raflesia kepada nama tempatan dilihat sebagai langkah simbolik dalam usaha penyahjajahan minda dan mengembalikan identiti negara namun pelaksanaannya perlu diteliti, kata Dekan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Zulhazman Hamzah.
Beliau yang merupakan pakar ekologi dan taksonomi tumbuhan berkata cadangan itu menggambarkan hasrat untuk mengangkat warisan tempatan yang telah lama wujud sebelum kedatangan penjajah Barat sekali gus memberikan pengiktirafan kepada masyarakat asal yang telah mengenali bunga tersebut sejak dahulu.
“Dari sudut simbolik, ia adalah pengisytiharan bahawa Malaysia memiliki warisan sepenuhnya dan bebas daripada legasi kolonial. Tetapi dari sudut sains, budaya dan secara praktikal, banyak aspek perlu ditimbang dengan teliti.
“Sejarah penamaan raflesia bermula pada tahun 1818 apabila ia ditemui di Bengkulu, Sumatera Barat oleh Sir Stamford Raffles dan Dr Joseph Arnold, sebelum ahli botani Robert Brown menamakan bunga itu secara rasmi pada 1821,” katanya dalam kenyataan hari ini
Zulhazman berkata penukaran kepada nama tempatan seperti bunga pakma atau nama mengikut etnik merupakan pengiktirafan terhadap pengetahuan tradisional sedia ada.
"Misalnya, masyarakat Kelantan menyebutnya sebagai bunga pokma, Orang Asli Temiar di Lojing sebagai bunga malang, Kadazan-Dusun (bunga patma), Melayu Selatan Thai (bunga kekmo) manakala di Thailand ia dikenali sebagai bua put." katanya.
Menurut Zulhazman, pengiktirafan nama tempatan bukan sahaja memelihara khazanah linguistik malah boleh dijadikan bahan pendidikan untuk memahami sejarah prapenjajahan, kepelbagaian biologi serta kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cabaran utama ialah dari segi kekeliruan saintifik dan global kerana nama 'Rafflesia' sudah diguna pakai dalam literatur saintifik antarabangsa lebih 200 tahun, merujuk kepada genus yang mempunyai lebih 40 spesies di Asia Tenggara.
“Jika nama rasmi ditukar di peringkat kebangsaan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dengan sistem penamaan spesies standard yang diiktiraf komuniti saintifik global,” katanya.
Selain itu, katanya isu kos dan praktikal juga perlu dipertimbangkan kerana ia melibatkan perubahan besar pada buku teks, papan tanda, bahan promosi pelancongan serta laman sesawang rasmi kerajaan.
"Malaysia yang berbilang kaum juga berdepan cabaran kerana pemilihan hanya satu nama tempatan berpotensi menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan etnik lain," katanya.
Sebagai langkah sederhana, beliau mencadangkan pendekatan dwinama seperti 'raflesia (bunga pakma)' digunakan dalam konteks rasmi, pelancongan dan pendidikan agar nilai saintifik dan budaya dapat dipelihara.
Namun katanya, yang lebih penting ialah memberikan tumpuan pada penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan supaya Malaysia muncul sebagai peneraju dunia dalam perlindungan bunga unik itu tidak kira apa nama yang diguna pakai.
Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya nama bunga raflesia ditukar sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 ketika mencelah sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 oleh Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Johari Ghani.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial