Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kontinjen Kereta Berhias ASEAN, Kenderaan EV Tarikan Hari Kebangsaan

22/08/2025 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kontinjen kereta berhias Kepengerusian ASEAN serta kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan bakal menjadi antara tarikan utama pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa berkata, kontinjen berkenaan merupakan sebahagian daripada 83 kontinjen yang akan menyertai perbarisan dan perarakan kali ini.

Beliau berkata, sambutan yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” mencerminkan hasrat kerajaan untuk membina negara maju bukan sahaja dari segi ekonomi dan infrastruktur, malah dalam masa sama mengutamakan nilai kemanusiaan, kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial.

“Untuk tahun ini, kontinjen perarakan melibatkan 13,204 peserta dengan 515 aset, 116 ekor haiwan termasuk anjing pengesan dan kuda, serta 78 kenderaan yang merangkumi kenderaan EV pemasangan tempatan.

“Selain itu, bagi kategori kereta berhias, kita bawakan kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 serta beberapa acara kemestian seperti persembahan kebudayaan, nyanyian lagu patriotik, perarakan dan tarian rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Malaysia Hari Ini terbitan TV3, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata persembahan udara daripada aset Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Diraja Malaysia yang sering dinanti-nantikan juga akan dipersembahkan.

Ad Banner

“Selain itu, persembahan begpipe oleh 150 anggota tentera serta nyanyian lagu tema Malaysia MADANI oleh Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin turut menyerikan sambutan.

“Seramai 1,000 peserta akan terlibat dalam persembahan khas Hari Kebangsaan yang melibatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, pelajar Sekolah Permata Seni Tari, Sekolah Seni Malaysia serta beberapa jabatan dan agensi kerajaan. Persembahan ini akan menampilkan kepelbagaian budaya kita,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata, program sisipan Riuh Merdeka juga akan dianjurkan, iaitu persembahan 30 jam tanpa henti bermula Sabtu (30 Ogos) mulai 2 petang hingga Ahad 6 petang dengan pelbagai pengisian menarik.

“Platform ini turut menjadi medan kepada usahawan tempatan mempromosikan produk mereka. Selain itu, tayangan filem percuma seperti BoBoiBoy akan diadakan bersama persembahan artis tempatan antaranya Misha Omar, Yuna, Alif Satar dan I Am Neeta,” katanya.

Beliau berharap agar sambutan Bulan Kemerdekaan ini dapat mengajak seluruh rakyat Malaysia menghayati erti Kemerdekaan.

“Kita mungkin tidak berjuang seperti tokoh-tokoh terdahulu, namun seharusnya bersyukur kerana dapat hidup dalam negara yang aman dan merdeka.

“Kita boleh menunjukkan sokongan padu dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, tempat kerja dan di mana sahaja sebagai tanda semangat patriotisme,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan